KETIKA berlangsungnya acara Sukan Olimpik 2020, kita dapat menyaksikan pengacara program rancangan televisyen berjaya menggunakan bahasa Melayu dalam sesi wawancara bersama atlet negara walaupun masih terselit bahasa Inggeris. Begitu juga acara Paralimpik Tokyo yang berlangsung baru-baru ini.
Saya bangga dan berbesar hati melihat atlet negara mempunyai semangat kebangsaan yang tebal dengan memilih untuk berbicara dalam bahasa Melayu walaupun ada dalam kalangan mereka bukan berbangsa bukan Melayu. Tahniah.
Sayangnya, penggunaan bahasa utama negara tidak diambil berat oleh syarikat-syarikat gergasi atau swasta yang lebih gemar memilih menggunakan bahasa Inggeris dalam pengiklanan. Teruk sangatkah kefahaman bahasa kebangsaan bagi kaum lain?
Semua pihak tidak kira pemimpin masyarakat, ahli korporat, peniaga, media, ahli sukan, orang ramai dan golongan cendekiawan perlu memainkan peranan proaktif demi mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Beberapa tokoh penting seperti Tan Sri Hussein Ahmad dan Datuk Dr. Firdaus Abdullah pernah mengaku dan berasa sedih dengan sikap masyarakat yang meminggir dan mengabaikan bahasa kebangsaan.
Mereka sudah meninggalkan kita semua tetapi perjuangan mereka mesti diteruskan. Beberapa ahli sukan dan tokoh politik bertaraf menteri masih berucap atau memberi ulasan tentang sesuatu isu seperti ekonomi dalam bahasa Inggeris. Ini menyebabkan penduduk luar bandar tidak faham perkara yang disampaikan sehingga dasar-dasar kerajaan dari segi model ekonomi yang hendak diberikan kepada rakyat tidak dapat dikecapi.
Inilah peranan agensi-agensi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), pihak berkuasa tempatan mahupun swasta menanamkan semangat mencintai bahasa kebangsaan. Saya tidak mahu mengungkit isu papan tanda, iklan dan pelbagai dokumen seperti memo, risalah yang sudah lama membelakangkan bahasa kebangsaan. Begitu juga perjanjian pinjaman dan jual beli yang
menggunakan bahasa Inggeris.
Tolonglah wahai pemimpinku, buatlah sesuatu sebelum nasi menjadi bubur. Jangan undur ke belakang sehingga sanggup menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi serta ekonomi. Jika dilihat dari segi perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan, kita boleh lihat bagaimana usaha Dr. Ridhuan Tee Abdullah, Prof. Datuk Koh Kay Kim, Prof. Dr. Teo Kok Seong, Dr. Lim Swee Tin, Dr. Sivamurugan, Dr. Mala dan lain-lain dalam mengagungkan bahasa ibunda.
Sempena sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-64, tekad dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti diteruskan.
GURU KAMPUNGAN, Melaka
No comments:
Post a Comment