Thursday, September 23, 2021

Diskriminasi Di Sekolah?

LAPORAN tentang diskriminasi yang didakwa berleluasa terhadap etnik India semasa mereka menuntut dahulu bukan sahaja mengejutkan, tetapi digesa banyak pihak untuk disahkan kebenarannya. Tinjauan ini mendapati etnik Cina juga mengalaminya.

Bukan sahaja berbentuk cacian, ia juga didakwa berlaku dalam bentuk peraturan persekolahan, malah dasar pendidikan dalam sistem negara. Semua ini didakwa kerana etnisiti mereka.

Sudah tentu tinjauan ini dilakukan berdasarkan pendekatan mentalis, iaitu dengan memperoleh pengakuan sama ada secara lisan mahupun bertulis daripada sebilangan pemaklum itu sendiri. Tidak dapat dinafikan jawapan mereka sama ada jujur atau sebaliknya digunakan dalam melaporkan hasilnya.

Dari satu sisi, tindakan melayan kelompok lain yang tidak sama dengan kita baik dari segi etnisiti mahupun kepercayaan keagamaan dengan disarati buruk sangka, sikap perkauman dan segala macam yang negatif tidak sepatutnya berlaku setelah kita sudah senegara sekian lama. Akan tetapi ia tetap berlaku kerana kita kurang malah langsung tidak saling mengenali untuk sekurang-kurangnya bertoleransi.

Oleh itu, ada keperluan mendesak untuk kita kenal antara satu sama lain berdasarkan fahaman peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu setelah kita mula mengenalinya. Ini hendaklah pertama-tamanya dilakukan melalui sistem pendidikan negara dengan mengadakan hanya satu aliran persekolahan khususnya di peringkat tadika dan sekolah rendah.

Sehubungan itu, malang sekali sistem kita membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia cukup muda, iaitu semasa tadika lagi yang pula diteruskan di sekolah rendah. Ia kemudiannya didapati gagal mencantumkan anak bangsa kita apabila mereka ke sekolah menengah yang berupa satu aliran sahaja.

Ini kerana ramuan perpaduan tidak dipupuk sebelum itu pada persekolahan pelbagai aliran. Sebenarnya kejutan budaya adalah antara sebab utama berlakunya kurang atau tiada toleransi sesama kita yang pelbagai kaum ini.

Kejutan budaya ialah keadaan seseorang atau sesebuah kelompok mengalami sentakan ekoran tindakan tertentu yang dilakukan seseorang atau kelompok lain berdasarkan amalan mereka. Ini kerana tiadanya kebiasaan dengan tindakan itu akibat tiadanya pergaulan antara yang terlibat untuk memahaminya.

STEROTAIP

Sehubungan itu, didapati pada kebanyakan waktu, seseorang atau kelompok bertindak secara negatif terhadap yang satu lagi kerana tidak mengenalinya secara dekat untuk mengetahui cara hidup etniknya pada tindakan berkenaan. Oleh itu, sangat penting untuk kita yang pelbagai etnik ini mengenali budaya etnik lain untuk mula mengurangkan dan akhirnya melenyapkan stereotaip, iaitu pemikiran yang penuh prasangka terhadap pihak lain dan etnosentrisme, yakni etnik kita sahaja yang baik, hebat dan segala macam lain yang positif.

Tidak dapat dinafikan melalui stereotaip sering berlaku konsep salah tentang perkara tertentu pada budaya etnik lain. Ini kerana kita tidak memahami budaya lain meskipun diamalkan di negara ini. Justeru, mempunyai pemahaman salah tentang sesuatu amalan etnik lain yang kekadangnya sengaja tidak mahu kita fahami kerana etnosentrisme.

Dari satu sisi lain pula, dakwaan diskriminasi terhadap etnik bukan Melayu oleh etnik Melayu tidak pernah pun diajukan secara rasmi oleh pemimpin bukan Melayu, baik dalam pemerintahan terdahulu mahupun yang sekarang. Ia tidak kedengaran pun di Parlimen daripada pembangkang tentang wujudnya diskriminasi dalam apa-apa jua bentuk termasuk bidang pendidikan pada sesetengah dasarnya.

Walaupun ia banyak sekali didakwa di peringkat masyarakat khususnya Cina, rata-ratanya perkataan diskriminasi tidak pernah digunakan oleh pemimpin bukan Melayu termasuklah ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah walaupun oleh mereka dari parti politik Cina yang ditanggapi paling cauvinis di negara ini.

Persoalannya di sini ialah keabsahan kewujudan tindakan sedemikian, iaitu layanan formal berlainan kerana etnisiti khususnya secara institusi sebagai dasar negara. Ia yang sepatutnya tidak boleh sesekali wujud dalam bentuk diskriminasi hendaklah segera diputuskan di Parlimen, lebih-lebih lagi oleh ahli Parlimen bukan Melayu akan kewujudannya di negara ini.

MODEN
Ini penting agar citra negara baik dalam dan luar negara hendaklah selalu baik pada pandangan semua pihak. Ini kerana diskriminasi memberi gambaran Malaysia mengamalkan sikap membeza-bezakan kerana etnisiti warganya, biarpun pada zaman moden ini dengan langsung tidak mengendahkan hak asasi manusia untuk mewujudkan kesamaan.

Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam membuat dakwaan yang berat ini dengan hakikat terang-terangan bahawa etnik Cina misalnya, bukan sahaja dapat terus hidup sebagai orang Cina dengan sepenuhnya meskipun dalam kehidupan nasional antaranya dengan kebenaran mempunyai persekolahan sendiri yang dibiayai kerajaan lagi.

Mereka juga memiliki ekuiti lumayan yang tidak disekat dalam apa-apa jua cara oleh etnik Melayu. Begitu juga dengan perkongsian kuasa daripada etnik Melayu dalam pemerintahan negara.

Sudah tentu semua ini dan banyak lagi yang lain sama sekali tidak mungkin dimiliki untuk dinikmati etnik bukan Melayu kalau diskriminasi betul-betul wujud di negara ini.

Dengan ini, barangkali ia bukan diskriminasi seperti yang didakwakan itu hanya tanggapan dan semu pula daripada etnik bukan Melayu. Oleh itu, ia harus disahkan segera oleh pemimpin bukan Melayu dalam kerajaan.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment