Sunday, September 12, 2021

Sukarnya Hidup Berjiran

MALAYSIA dan Singapura bukan sahaja berkongsi bulan kemerdekaan, iaitu Ogos, tetapi pertalian sejarah yang amat rapat membuatkan apa sahaja peristiwa yang tercetus di salah satu negara sudah amat pasti terkait negara yang satu lagi.

Pada Mei lalu, apabila pesawat milik syarikat yang berpangkalan di Israel, IAI-Elta menyusuri ruang udara negara dalam perjalanan dari Tel Aviv ke Singapura, isu ini menjadi polemik di Malaysia.

Beberapa minggu selepas itu pula, kerajaan Singapura menyatakan hasrat untuk menambak Batu Puteh yang menurut mereka demi menjamin keselamatan laluan perairan tersebut. Tidak dinafikan batu tersebut adalah milik Singapura tetapi oleh kerana sejarah perebutan hak dan lokasinya begitu dekat dengan perairan Malaysia, perubahan fizikal sudah pasti akan memberi kesan kepada negara ini. Mungkin jua Singapura was-was apabila Malaysia membina Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah yang lokasinya juga amat hampir dengan Singapura.

Malaysia juga amat memahami, Singapura bergantung rapat dengan bantuan teknologi pertahanan dari Israel tetapi apa jua yang berkait Israel, rakyat Malaysia tetap begitu sensitif. Lebih-lebih lagi kejadian ketika Israel bertalu-talu melakukan serangan terhadap Semenanjung Gaza.

Oleh kerana IAI-Elta merupakan prototaip yang dilengkapi pelbagai peralatan elektronik risikan, rakyat Malaysia juga tertanya-tanya, apakah Singapura mempunyai perancangan memiliki pesawat tersebut?

Malah ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat lawatan rasmi ke republik itu pada 2017, rasa kurang senang bukan sahaja dirasai oleh rakyat Malaysia malah Indonesia jua. Lebih-lebih lagi apabila Netanyahu mempelawa Singapura untuk memulakan penerbangan secara terus dari pulau tersebut ke Tel Aviv.

Begitu jua tindak tanduk Malaysia mampu menjana rasa kurang senang dan kemusykilan pemimpin dan rakyat Singapura. Pada 9 Ogos lalu, Tentera Darat Malaysia (TDM) muat naik satu video berdurasi 4.12 minit yang banyak berkisar kepada taklimat berkait dengan operasi menawan kawasan musuh. Kandungan video dan taklimat tidak banyak yang berkait dengan penonjolan pemilikan aset ketenteraan atau strategi operasi secara spesifik. 

Tetapi menariknya beberapa hari selepas itu, Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam memuat naik video TDM tersebut ke dalam media sosial Facebook beliau. Lebih menarik lagi apabila Shanmugam mempersoalkan niat sebenar TDM yang memuat naik video tersebut ketika perarakan Hari Kebangsaan sedang berlangsung.

Malah Shanmugam juga mempersoalkan, mengapakah taklimat dalam video tersebut dilakukan dalam bahasa Inggeris? Secara puratanya setiap hantaran Facebook Shanmugam memperoleh paling banyak 2,000 likes dan mengundang secara purata 50 komen. Tetapi hantaran mengenai video TDM memperoleh lebih 5,000 likes dan juga komen.

SUNYI
Hakikatnya, video TDM tersebut langsung tidak mengandungi unsur sensitif yang mampu mengguris hati jiran kita tetapi apabila seorang ahli politik bertaraf menteri mempersoalkannya dalam media sosial secara terbuka, maka pelbagai tafsiran boleh tercetus. Ruangan komen yang begitu banyak adalah manifestasi cetusan daripada hantaran Facebook Shanmugam.

Malaysia dan Singapura tidak pernah sunyi dengan isu yang menjadi polemik kerana tahap sensitiviti yang agak tinggi terutama sekali perkara melibatkan hal kedaulatan. Tidak dinafikan pemerintah Singapura bijak mencuri peluang menggunakan isu demi menaikkan semangat rakyat mereka, lebih-lebih lagi ketika menyambut Hari Kebangsaan. Perarakan dan ucapan Hari Kebangsaan digunakan setiap tahun untuk menyeru rakyat Singapura membantu pemerintah mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Mahu tidak mahu, negara jiran seperti Malaysia terperangkap dengan strategi Singapura tetapi apa yang lebih penting ialah kerajaan dan rakyat Malaysia tidak termakan umpan dan bagaikan sudah lali dengan percaturan Singapura. Umpamanya apabila Kuala Lumpur meminta supaya diadakan rundingan perjanjian bekalan air mentah yang Singapura membayar dengan kadar 3 sen per 1,000 gelen, Singapura mendakwa sebarang perlanggaran satu pihak perjanjian antarabangsa itu bagai mencabar kedaulatan Singapura.

Begitu jua apabila Kuala Lumpur mencadangkan pembinaan jambatan merentasi Selat Johor menggantikan Tambak Johor dengan alasan supaya aliran air tidak lagi tersekat, Singapura secara halus menolak cadangan tersebut dengan alasan tambak adalah laluan saluran air yang dibekalkan dari Johor dan Singapura yang tidak boleh diusik tanpa persetujuan kedua-dua pihak.

Malaysia dan Singapura masing-masing sudah menjadi negara merdeka dan berdaulat selama 64 dan 56 tahun. Selain pertalian sejarah negara yang amat rapat dan berkait antara satu sama lain, pertalian ekonomi, sosial, budaya iaitu pertalian antara rakyat dan rakyat adalah begitu intim sekali.

Hubungan dua negara jiran ini sudah banyak kali teruji dan setiap kali itu berjaya melepasi ujian tersebut dengan begitu baik. Tidak kira sama ada isu yang ditempuh itu perkara berat atau remeh seperti pesawat Israel, Batu Puteh, Batuan Tengah, Netanyahu, video TDM, kadar air 3 sen atau jambatan ganti tambak, kesemuanya itu dianggap rencah resam hidup berjiran.

Oleh: Azmi Hassan

No comments:

Post a Comment