Saturday, September 11, 2021

PM Dianggap Cabul Perlembagaan, Langgar Wasiat Raja-Raja Melayu

‘Senario paling dahsyat jika pemimpin hilang akal iktiraf UEC’

Senario paling dahsyat akan wujud dalam pendidikan negara sekiranya pemimpin hilang pertimbangan dan akal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Pengiktirafan kepada sijil berkenaan bukan hanya menghancurkan, bahkan secara automatik meletakkan kewujudan dasar pendidikan seperti Penyata Razak, Penyata Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1996 luput walaupun diluluskan oleh Parlimen.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin berkata, sistem pendidikan negara mungkin terpaksa membuat dasar baharu selaras dengan keputusan mengiktiraf sijil berkenaan.

Ini kerana, Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan penggunaan bahasa Melayu sebagai pengantar, di samping bahasa lain boleh digunakan sebagai subjek pelajaran, katanya.

“Tetapi, UEC ditubuhkan dengan menggunakan bahasa Cina, malah tidak mengikut dasar pendidikan di mana peperiksaan mereka pun tak ikut sistem kita.

“Sedangkan, peperiksaan mesti datang dari KPM. Mereka pula buat peperiksaan dan kurikulum yang condong kepada memuja negara China,” katanya dalam bual bicara Agenda Pertiwi bertajuk UEC: Kerana Kuasa Prinsip Tergadai, malam tadi.

Beliau berkata, sehingga kini Malaysia mempunyai sebanyak 61 buah sekolah persendirian Cina yang mengendalikan UEC sejak ia diluluskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Raof mengakui kewujudan sijil peperiksaan itu adalah berpunca daripada sikap pemimpin Melayu yang tidak mempunyai jati diri dan hilang pertimbangan hanya kerana mempertahankan kuasa.

“Saya salahkan pemimpin-pemimpin Melayu. Mereka ini terlalu takut dan mengikut kehendak Dong Zong. Kenapa kita nak bertolak ansur dengan mereka? Patut titik terus.

“Siapa yang mencabul Perlembagaan kalau lulus? Perdana Menteri! Jika diiktiraf ia mencabul Perkara 152 bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Akta Bahasa 1963 dan 1967, melanggar wasiat Raja-Raja Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan wujud senario kedudukan sekolah kebangsaan akan secara beransur-ansur runtuh disebabkan pertambahan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan swasta Cina.

“Jika bukan sekolah bertambah, mungkin cawangannya bertambah. Maka, yang merana disitu ibarat kera di hutan disusukan, anak di sekolah kebangsaan akan beransur kurang.

“Bayangkan pelajar sekolah kita ambil SPM, tetapi pelajar aliran UEC tidak ambil SPM sedangkan UEC sama taraf dengan STPM. Mana boleh,” katanya.

Terdahulu, laporan portal berita Samudera.my mendedahkan, bahawa UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan ini menurut sumber dalaman portal berkenaan, berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan ‘Confidence & Supply Agreement’ (CSA) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment