Tuesday, November 19, 2019

Pejuang Vernakular Sangat Agresif Hingga Tonjol Sifat Cauvinisme

Pemimpin dahulu terlalu ikut tuntutan politik dimainkan kaum bukan Melayu
BANGI – Sikap pejuang sekolah vernakular dalam mengangkat dan memartabatkan bahasa ibunda mereka dilihat terlalu agresif sehingga menonjolkan sifat cauvinisme, kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, tidak salah untuk bahasa ibunda Cina dan Tamil dipelajari di negara ini, tetapi janganlah cara pendidikan itu berlebihan sehingga mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, keadaan itu jelas dilihat dalam isu rancangan memperkenalkan tulisan jawi dan khat kepada pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina serta Tamil dengan kadar yang cukup minimum iaitu enam muka surat.

“Tetapi lihat bagaimana pejuang sekolah vernakular ini menentang, ianya sangat agresif dan berlebihan sekali dengan mengatakan ia perancangan licik Melayu untuk mengislamkan anak-anak bukan Melayu.

“Itulah yang dimaksudkan cara mereka memperjuang dan menegakkan pendidikan vernakular. Cara mereka terlalu cauvinisme. Alasan mereka tak mahu tulisan jawi kerana akan menjejaskan identiti sekolah Cina dan Tamil,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan sekolah vernakular kononnya ‘tapak’ perpaduan, Kok Seong sama sekali menolak perkara itu dan menegaskan, kewujudan sekolah vernakular langsung tidak membantu memupuk perpaduan nasional.

“Terutamanya masyarakat Cina, mereka mengatakan sekolah Cina itu adalah tapak perpaduan kerana melihat statistik pelajar bukan Cina di sekolah berkenaan sekitar 20 peratus.

“Jadi jumlah itu mereka gunakan sebagai statistik untuk mengatakan bahawa sekolah vernakular memupuk perpaduan bukannya menghalang,” katanya.

Pada masa sama, Kok Seong turut kesal dengan sikap tidak tegas dan kegagalan pemimpin terdahulu untuk memansuhkan sekolah vernakular, dan mewujudkan sistem pendidikan satu aliran.

“Dalam perbincangan awal didapati bahawa sekolah vernakular akan wujud untuk sementara waktu sahaja, dan akhirnya akan dimansuhkan menjadi sistem pendidikan satu aliran.

“Namun, apa yang kita lihat hari ini, sekolah vernakular begitu diperkasa sekali dan jika ia dimansuhkan sekarang pasti mendatangkan banyak musibah,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin dahulu terlalu mengikut tuntutan politik yang dimainkan kaum bukan Melayu, terutama orang Cina sehingga terpaksa mengalah demi kelangsungan kuasa.

“Pemimpin Melayu terutama UMNO ketika itu terpaksa mengalah kerana orang Cina tidak akan akan menyokong mereka sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi.

“Kita perlu kepada keberanian politik jika mahu memansuhkan sekolah vernakular dan mengubah kepada sistem pendidikan satu aliran,” katanya. - www.ismaweb.net

1 comment:

  1. Apa yg di nyatakan oleh Prof adalah TEPAT sekali...!!!

    ReplyDelete