Friday, November 29, 2019

Adakah Ini Yang Di Terima Dari Sekolah Vernakular

Rakyat tak kenal Jalur Gemilang ialah pengkhianat, kata menteri
KUALA LUMPUR: Rakyat yang tidak mengenali Jalur Gemilang tidak boleh dilabel sebagai dungu dan jahil, sebaliknya mereka ialah pengkhianat nasionalisme, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik susulan isu paparan bendera Malaysia berbintang 5 bucu dalam satu kejohanan bola keranjang di sini, baru-baru ini.

“Pada saya, kejahilan terhadap Jalur Gemilang bagi seseorang warga yang mengaku rakyat Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

“Ini tidak boleh dikira satu kedunguan atau kejahilan, tetapi perlu dilihat suatu pengkhianatan terhadap terhadap nasionalisme kita,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2020 kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Isu itu dibangkitkan Ikmal Hisyam Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) apabila masih ada pihak yang tidak mengenali bentuk bendera Malaysia walaupun selepas 62 tahun negara merdeka dan ia perlu diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara.

Maszlee berkata, kementeriannya bertanggungjawab mendidik rakyat untuk mencintai negara dan mempunyai semangat nasionalisme.

“Kita akan pastikan setiap rakyat mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, maka bermula Jun tahun ini, kita memperkenalkan semula Pendidikan Sivik di sekolah.

“Bukan saja melahirkan rakyat Malaysia beretika tinggi, mentaliti sivik, tetapi lebih daripada itu yang cintakan negaranya dan sanggup mempertahankan identiti nasional demi melawan musuh negara.”

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mencelah mengaitkan isu bendera Malaysia berbintang 5 bucu itu dengan pemimpin MCA yang menyebabkan Presidennya, We Ka Siong (BN-Ayer Hitam) tidak berpuas hati.

Wee berkata, secara dasarnya beliau tidak bersetuju mana-mana pihak cuba menghina bendera negara.

“Jangan kaitkan dengan politik, yang tak betul kita cakap tak betul, kita tak menghalalkan kenyataan yang haram.

“YB (Rayer) tak baca surat khabar, dia (Presiden Lua Choon Hann) sudah mohon maaf mewakili persatuan (Persatuan Bola Keranjang Malaysia), kalau tidak baca, jangan tuduh membuta tuli serang kita (MCA).”

Kelmarin, Persatuan Bola Keranjang Malaysia memohon maaf atas kesilapan pasukan siaran langsungnya memaparkan Jalur Gemilang berbintang 5 bucu pada skrin digital pada majlis perasmian Piala Lum Mun Chak Maba/Milo ke-28 baru-baru ini.

Gambar dan klip video paparan bendera itu tersebar di media sosial dengan sesetengah pengguna internet mendakwa persatuan terbabit rasis dan mempromosikan komunisme.

Hari ini, Lua yang didakwa orang kuat MCA, mengumumkan beliau mengambil cuti secara sukarela dan jawatan serta tugasnya akan diambil alih timbalannya, Tan Kang Yong sementara menunggu siasatan pihak berkuasa selesai.

MCA sebelum ini meminta semua pihak tidak mengaitkan isu itu dengan parti berkenaan. - www.freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment