Friday, November 29, 2019

Gerombolan Chauvinist Hanya Tersenyum....Lu Boleh Bikin Apa?

Jangan biarkan si biadab berleluasa
ALASAN penggunaan Jalur Gemilang yang salah sempena perasmian Kejohanan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak, anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) baru-baru ini mengundang kemarahan ramai selepas tular di media sosial.

Ramai menyifatkan kesilapan itu mencabul kesucian bendera Malaysia dan satu kebiadaban yang tidak boleh dibiarkan.

Imej bendera bintang berbucu lima yang dipaparkan menerusi klip video berdurasi satu minit 42 saat ketika nyanyian lagu Negaraku itu ternyata membuatkan ramai tidak senang duduk sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

‘Penghinaan’ yang dipaparkan secara terbuka menyebabkan ramai tertanya-tanya apakah agenda sebenar penganjur pada temasya sukan berkenaan? Adakah tidak sengaja atau disengajakan?

Kesilapan itu menyebabkan MABA memohon maaf dan akan bertanggungjawab sepenuhnya termasuk memecat kontraktor yang terlibat.

Meskipun pihak pengurusan MABA telah memohon maaf, namun masih ramai tidak berpuas hati termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu tindakan tegas diambil.

Beliau menyifatkan tindakan MABA menggunakan Jalur Gemilang yang salah adalah satu tindakan cukup memalukan kerana tidak melambangkan budaya Malaysia.

“Alasan ‘tersilap bendera’ seperti yang dikemukakan pihak terlibat tidak boleh diterima kerana budak kecil berumur 5 tahun pun mengetahui mana satu bendera Malaysia.

Kedaulatan
Insiden berkenaan turut dianggap sengaja mahu mempersendakan simbol kedaulatan negara.

Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, tindakan biadab itu adalah satu pengkhianatan terbuka kepada negara tercinta.

“Tindakan biadab ini seolah-olah mempersendakan negara. Jalur Gemilang adalah satu lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh itu, kita jangan ambil mudah terhadap perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bendera bintang berbucu lima itu, pakar sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, bendera itu adalah draf dalam fail dan tidak pernah diterima sebagai bendera rasmi Malaysia.

“Tidak timbul isu bendera itu pernah menjadi bendera rasmi Malaysia. Ia tidak diterima ketika itu. Apapun alasan diberikan tidak boleh diterima dan bersifat kurang ajar.

“Sebagai rakyat Malaysia tidak kira kaum dan bangsa, kita wajib tahu mengenai bendera negara sendiri. Tidak ada isu kesilapan kerana bendera adalah simbol penghormatan dan martabat sesebuah negara,” katanya.

Bukan setakat itu sahaja, isu bendera semakin panas apabila sekali lagi mendapat perhatian ramai selepas seorang netizen mendedahkan bendera negeri Perak pula terbalik pada jersi pemain bola keranjang.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, penjelasan pihak pengurusan pasukan berkenaan mendapati kesilapan cetakan hanya berlaku pada sehelai jersi pemain.

Beliau turut mengingatkan semua pasukan, persatuan dan kelab sukan negeri agar lebih cakna dan teliti terhadap lambang terutama bendera rasmi negeri bagi mengelak masalah berkenaan berulang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah menegaskan, ‘kesilapan’ melibatkan bendera itu bukan kali pertama berlaku.

“Seharusnya Kementerian Belia dan Sukan bersama pihak berkuasa perlu mengambil tindakan amat tegas sebagai amaran kepada mana-mana badan sukan.

“Kami mencadangkan mana-mana badan sukan yang mahu menjalankan sesebuah acara perasmian perlu mendapatkan kelulusan bahan paparannya daripada kementerian berkaitan terlebih dahulu,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan membuat pindaan undang-undang sedia ada berkait bendera Jalur Gemilang supaya kehormatan negara dijaga dan dilindungi.

Mungkin ramai bersetuju dengan semua pandangan itu supaya kerajaan dan rakyat Malaysia tidak lagi memandang enteng terhadap sebarang kes yang melibatkan simbol kebangsaan. Sudah tiba masanya elemen kebangsaan diperkasakan tanpa kompromi.

Jika dibiarkan dan tiada tindakan, dikhuatiri insiden sama akan terus berulang dan menjadi modal provokasi segelintir pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan masyarakat majmuk. - www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment