Saturday, March 23, 2019

‘Musang’ Dalam Liberalisme Agama


ORANG tua-tua kita sangat bijaksana dalam memberikan gambaran terhadap sesuatu. Misalnya mengenai musang yang membawa maksud musuh yang jahat. Musang berbulu ayam pula yang menyamar dan membuat onar dari dalam kelompoknya.

Musang jenis ini banyak wujud dalam masyarakat kita. Kini sesetengah musang itu adalah mereka yang balik dari di Asia Barat sambil menggonggong segulung kertas (baca ijazah). Mendepa berjalan bila ada ‘kertas’ dari Asia Barat, mufti pun boleh kalah kalau tengok dari lagaknya.

Disebabkan ada ‘kertas’ dari Asia Barat maka semua hal-hal asas mengenai Islam di negara ini tidak betul pada pandangannya.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan cuba diubah. Kedudukan eksklusif Islam dalam Perlembagaan bertentangan dengan sifat kemajmukan daripada sudut kaum, budaya dan agama, kata musang-musang ini.

Dalam bahasa mudah difahami, musang ini adalah liberalis Islam. Sekadar memakai topeng Islam tetapi dalam banyak perkara mereka dikuasai pemikiran liberal, termasuk mengenai Islam.

Demikianlah cara musang memperalatkan kebebasan bersuara yang dijanjikan kerajaan. Sambil menggonggong ‘kertas’, mereka pun menulis sekian banyak makalah menyebarkan pandangan sambil mengkolotkan institusi Islam di negara ini.

Mesti ditulis, selepas nama kena sebut juga dari universiti mana dan apa jenis kertasnya. Terloponglah orang yang tersihir dengan ‘kertas’.

Dengan ‘kertas’ tadi mereka pun lantang perjuangkan terma ‘kebebasan beragama’ iaitu menuntut agama lain juga bebas disebar seperti Islam.

Malah menganggap ulama-ulama yang tidak selari sebagai kolot dan menyuntik perpecahan dalam kalangan rakyat pelbagai agama.

Musang-musang inilah yang memberikan gambaran bahawa ajaran Islam yang diamalkan di negara kita selama ini adalah keras, tiada toleran dan menutup pintu untuk ‘berkasih sayang’ dengan bukan Islam. Seolah-olah punca perbalahan datang daripada Islam.

Tetapi sifat ‘kemusangan’ tidak dapat disembunyikan apabila secara berterusan memberi gambaran bahawa umat Islam negara ini mudah melatah dengan isu yang menyentuh Islam. Tetapi mereka berdiam diri apabila sesetengah pihak memprovokasi Islam.

Sebaliknya bersikap terbuka apabila bukan Islam menganjurkan pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kuala Lumpur.

Mereka menganggap penganjuran seperti itu salah satu ciri meraikan kebebasan beragama yang kita anuti, tetapi sebenarnya semua agama menolak LGBT.

Kerana itulah apabila imej salib dibina setinggi bangunan sepuluh tingkat di Pulau Pinang, kata mereka, salib tidak menggugat akidah umat Islam.

Pandangan sedemikian pula adalah selari dengan sesetengah pemimpin beragama Islam menjaga pengaruh di pasaran politik bukan Islam. Musang-musang ini juga menyerang majlis agama di negeri-negeri dan segala usaha membendung penyebaran agama lain, termasuk ajaran sesat serta fahaman songsang kerana dianggap tidak merai perbezaan beragama.

Hujah mereka, pendekatan institusi Islam sangat keras dan boleh menimbulkan konflik terhadap fahaman agama yang berbeza. Oleh kerana itu disarankan supaya lebih berlembut dan tidak boleh sama sekali menuduh agama lain tidak betul.

Daripada hujah musang-musang ini, kesimpulannya semua institusi berkaitan Islam - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan banyak lagi tidak meraikan kebebasan beragama iaitu membolehkan agama lain disebar seperti Islam.

Sudut pemikiran mereka yang liberal ini sangat selari dengan Barat yang menganggap ajaran Islam menjurus kekerasan, kasar, ganas dan melanggar hak-hak asasi. Demikianlah mudahnya Barat mendapat sokongan para liberalis dalam kalangan Islam.

Mereka memakai topeng Islam kerana sesetengah daripada kita mudah tersihir dengan topeng.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

No comments:

Post a Comment