Monday, March 4, 2019

Jangan Jual Aset Negara

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, rakyat dihebohkan mengenai hutang negara yang dikatakan mencecah sebanyak RM1.065 trilion yang terdiri daripada RM752.2 bilion hutang rasmi kerajaan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan juga RM184.9 bilion tanggungan kerjasama kerajaan-swasta.

Justeru, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif di dalam mengawal paras hutang negara. Ini termasuklah mengurangkan pegangan kerajaan di dalam syarikat bukan strategik dan penjualan tanah milik kerajaan secara berjadual.

Kesemua inisiatif ini jika dilihat secara teliti ia merujuk kepada aktiviti menjual aset-aset negara.

Bagi mengurangkan pegangan kerajaan di dalam syarikat bukan strategik misalnya, kerajaan menerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pada November 2018 yang lalu telah melepaskan pegangan 16% saham IHH Healthcare Berhad (IHH) dengan nilai RM8.42 bilion kepada Mitsui & Co. Ltd., sebuah syarikat Jepun.
Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini Khazanah sekali lagi menjual 40 juta sahamnya dalam syarikat perbankan yang berpangkalan di Filipina, BDO Unibank Inc. dengan nilai RM415 juta.

Mengiringi tindakan ini adalah Axiata Group Berhad yang juga anak syarikat Khazanah yang turut menjual kesemua 28.7% pegangan saham mereka di dalam M1 Limited (M1) kepada Konnectivity Pte. Ltd. pada harga RM1.65 bilion.

Penjualan aset-aset strategik ini juga dilihat janggal kerana pegangan aset-aset ini sebenarnya memberikan pulangan dividen yang lumayan kepada kerajaan.

Misalnya, nilai IHH pada tahun 2017 mencecah AS$11 bilion dengan hasil penjualan tahunan RM11.1 bilion yang menghasilkan keuntungan sebelum cukai RM2.3 bilion.

Manakala, pelaburan Axiata dalam M1 yang bermula sejak tahun 2005 telah menyumbang kepada pertumbuhan Axiata dengan dividen berjumlah RM1.1 bilion sejak 10 tahun lalu.

Dalam hal ini, Khazanah selaku syarikat pelaburan strategik negara dilihat telah diperah secukupnya bagi memenuhi keperluan kewangan semasa kerajaan dari semasa ke semasa.

Selain Khazanah, Petronas yang juga satu-satunya syarikat tempatan yang tersenarai di dalam senarai syarikat terbesar dunia, Fortune Global 500 juga ditekan apabila dipaksa membayar dividen khas yang tertinggi di dalam sejarah Malaysia pada tahun 2019 iaitu RM30 bilion.

Jika ketika mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Khazanah melakukan ‘pelaburan yang melucukan’.

Ini kerana mereka melakukan banyak penjualan aset-aset strategik di samping mengingatkan bahawa peranan asal Khazanah iaitu di dalam memacu aspirasi ekonomi negara dan membantu meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera.

Namun, tindakan kerajaan di bawah kepemimpinan beliau kini dilihat cuba melakukan perkara yang sama dengan turut menjual aset-aset strategik milik negara secara umumnya atau pun Khazanah secara khususnya.

Adakah perkara ini berada di luar kawalan beliau sedangkan Perdana Menteri kini adalah Pengerusi Khazanah dan juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah ahli lembaga pengarah Khazanah.

Ataupun adakah mereka sebenarnya sedar tetapi terpaksa melakukan perkara sedemikian demi menyelesai masalah hutang negara dengan cara yang mudah.

Sekiranya aset-aset negara terpaksa dijual bagi memenuhi obligasi semasa kerajaan, maka apakah lagi yang tinggal untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Apakah suatu hari nanti anak cucu masih dapat berbangga dengan aset-aset dimiliki negara yang tercinta.

Adakah tindakan ini hanya bagi menyelesaikan masalah semasa tanpa melihat kepada pulangan dalam jangka panjang.

Akhirnya, mereka melakukan apa yang mereka kritik pada satu ketika dahulu. Maka, mereka sedikit sebanyak mengikuti kata tanda pagar yang tular ketika ini iaitu #MaluApaBossku.

Oleh: Muhammad Iqmql Hisham Kamaruddin

1 comment:

  1. bosan tidak tahu mesti mengerjakan apa ^^
    daripada begong saja, ayo segera bergabung dengan kami di
    F*A*N*S*P*O*K*E*R cara bermainnya gampang kok hanya dengan minimal deposit 10.000
    ayo tunggu apa lagi buruan daftar di agen kami ^^


    ReplyDelete