Tuesday, October 23, 2018

Mengutamakan Keselamatan Ekonomi Bumiputera

BUMIPUTERA yang telah menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional (BN) dan kebangkitan kuasa Pakatan Harapan (PH) sebagai parti pemerintah menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini berhadapan dilema sosioekonomi yang genting. Kegentingan ini dilatarbelakangkan oleh beberapa pendapat bahawa dasar sosioekonomi berasaskan kaum wajar dihapuskan kerana kononnya menghakis keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Dilema ini juga digerhanai oleh semaraknya hedonisme dalam kalangan anak muda bumiputera, kemewahan warga korporatnya serta kisah rasuah dan penyalahgunaan kuasa bumiputera.

Kenapa jadi begini? Siapa perlu dipersalahkan? Bagaimana ia harus ditangani dan bilakah bumiputera dari semua parti politik boleh bergabung kekuatan untuk menghapuskan dilema ini?

Di manakah suara pendekar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam hal ini? Bagaimanakah intelektual bumiputera akan bertindak mengenainya? Apakah peranan sarjana bumiputera dari seluruh universiti awam dalam menanganinya? Dan apa peranan media perdana untuk menggerakkan agenda ke arah misi perjuangan ini?

Pokoknya, dasar affirmatif sosioekonomi bumiputera yang berpaksikan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) mesti diberikan naratif baharu, perspektif baharu dan strategi baharu yang semuanya berpaksikan keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional.

Dr. Rais Saniman, antara arkitek DEB yang masih bersama kita ketika menyampaikan intipati kajiannya pada 20 Ogos 2013, menegaskan keselamatan ekonomi bumiputera bergantung kepada kegagahan kuasa politik bumiputera.

Kajian ini juga mendapati, bukan bumiputera sentiasa bersatu untuk menggunakan kekuatan ekonominya bagi memperoleh dan mengukuhkan kuasa politiknya di Malaysia.

Beliau merumuskan, jika bumiputera gagal menyatukan tenaga, minda dan kekuatan politiknya untuk mempertahankan hak ekonominya menerusi fakta, data, perangkaan dan perundangan; sosioekonomi mereka mungkin dilanda penjajahan dalaman.

Jika begitu, kenapa kita membisu bila segelintir bukan bumiputera yang mendakwa sebagai pakar ekonomi, mengatakan dasar affirmatif bumiputera perlu dihapuskan?

Golongan ini perlu dibuka mindanya dan diberitahu majoriti bumiputera lebih daif daripada keturunan Cina dan India di Malaysia. Jabatan Perangkaan Kuala Lumpur (1958-1960) mencatatkan fakta pada 1957, keturunan Cina sudah menguasai ekonomi negara ini secara kukuh; sedangkan Melayu masih lemas dalam kancah kemiskinan.

Hwok-Aun Lee, dari Institute for Southeast Asian Studies di Singapura, menyatakan dalam analisisnya pada Mac 2017 bahawa pada 1957, kadar kemiskinan di negara ini ­melibatkan 70.5 peratus Melayu, 35.7 peratus India, dan 27.4 peratus Cina.

Kajian Dr. Yusof Saari daripada Universiti Putra Malaysia pada 2015 pula mencatatkan pada 1970, 66 peratus bumiputera masih miskin, berbanding 40 peratus India dan 28 peratus Cina.

Fakta ini menunjukkan bumiputera adalah warganegara kelas tiga. Hakikat ini harus membimbangkan semua pihak, termasuk keturunan Cina dan India.

Muthiah Alagappa, sarjana keselamatan Malaysia yang menempa nama di persada antarabangsa menulis dalam bukunya (1987) bahawa kesejahteraan ekonomi adalah antara faktor penentu yang penting kepada keselamatan nasional di negara membangun seperti Malaysia.

Dr. Mohammed Abdul Khalid, penasihat ekonomi Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan dalam bukunya (2014), ketidakseimbangan ekonomi adalah isu penting yang perlu diatasi kerana pelebaran jurangnya boleh mencetuskan huru-hara politik, ekonomi dan sosial.

Lantas, desaklah pakar ekonomi yang menyatakan dasar affirmatif bumiputera perlu dimansuhkan untuk menafikan hakikat ini.

Kalau perlu, pendekar NGO bumiputera buatlah laporan polis kerana kenyataan sepertinya mengancam perpaduan nasional.

Golongan di atas perlu diberikan pencerahan, kemajmukan di Malaysia adalah berteraskan bumiputera, rakyat majoriti yang tertindas sejak zaman penjajah British dan terus daif walaupun penjajah sudah bungkus tikar pada 1957.

Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri yang sentiasa berazam membela bumiputera jangan kita biarkan keseorangan kerana beliau sedang dikelilingi segolongan individu yang dalam kalbu­nya memusuhi dasar affirmatif bumiputera.

Generasi muda bumiputera juga mesti dilibatkan dalam misi ini kerana nasionalisme bumiputera sekarang adalah untuk menjamin keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional, sedangkan misi pejuang terdahulu adalah untuk mencapai kemerdekaan.

Golongan bukan bumiputera pula mesti insaf, jangan selalu keluarkan provokasi dan usah gunakan kuasa politik mereka untuk menghakis apa jua dasar affirmatif bumiputera.

Oleh: Datuk Ruhanie Ahmad

No comments:

Post a Comment