Tuesday, January 25, 2011

Pemikiran Sinis Lee Kuan Yew

MENTERI Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kelmarin dilaporkan menggesa umat Islam di republik berkenaan supaya 'tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam' bagi membantu proses intergrasi dan pembangunan negara itu.

''Saya fikir penduduk Islam tidak menimbulkan masalah dalam masyarakat tetapi mereka berbeza dan berlainan," katanya dalam buku bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang dilancarkan minggu lalu.

Buku berkenaan adalah berdasarkan 16 wawancara dengan Kuan Yew yang disifatkan sebagai lelaki paling berpengaruh dalam sejarah republik berkenaan.

Wawancara yang keseluruhannya mencatatkan 32 jam itu dijalankan dari Disember 2008 hingga Oktober 2009 dan melibatkan tujuh wartawan The Straits Times Singapura.

Dengan 458 halaman dan 11 bab, buku tersebut mengupas secara mendalam pemikiran Kuan Yew dalam beberapa topik termasuklah sistem politik Singapura, perubahan iklim dan perhubungan antarabangsa.

Topik-topik ringan yang dibincangkan Kuan Yew dalam buku berkenaan adalah mengenai cinta pandang pertama, tattoo, fengshui dan filem. Ia ditulis dalam format soal jawab.

Kenyataan Kuan Yew dalam buku tersebut iaitu supaya masyarakat Islam menjadi lebih liberal menarik perhatian dunia berbanding buku yang baru dilancarkan itu sendiri.

Masyarakat dan pemimpin Melayu di Malaysia pastinya tidak hairan langsung dengan kenyataan sedemikian oleh Kuan Yew. Ini kerana mereka sudah cukup kenal dengan pemimpin veteran Singapura berkenaan sejak negara itu menjadi sebahagian daripada Malaysia sebelum berpisah pada 1965.

Kenyataan Kuan Yew itu turut dilaporkan dalam banyak portal berita di seluruh dunia. Portal Indonesia www.kompas.com melaporkan kenyataan tersebut di bawah tajuk 'Kuan Yew Desak Muslim Lebih Moden.'

Sebuah portal Islam, World Future Online mempersoalkan kenyataan Kuan Yew yang mahukan umat Islam Singapura supaya tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam.

''Kenyataan Kuan Yew seolah-olah mengakui bahawa nilai Islam amat sukar dikikis daripada umat Islam republik tersebut. Sehingga kini beliau masih gagal untuk mengintergrasikan masyarakat Islam dalam masyarakat Singapura seperti mana yang beliau idamkan," kata portal tersebut.

Portal yang sama mendakwa pemerintahan Kuan Yew bersikap zalim terhadap masyarakat Melayu dengan menghapuskan kampung-kampung Melayu bagi mendirikan rumah pangsa untuk dijual kepada masyarakat bukan Islam.

Penduduk kampung Melayu kemudiannya diasing-asingkan di beberapa daerah dan penduduk bukan Islam dibawa untuk tinggal di tempat-tempat yang dulunya penduduk Islam adalah golongan majoriti.

Bagaimanapun, langkah ini gagal untuk menyerapkan penduduk Islam ke dalam komuniti bukan Islam Singapura. Sebaliknya, tambah World Future Online, masyarakat Melayu menolak parti pemerintah People's Action Party (PAP) dalam beberapa pilihan raya.

Ketika Kuan Yew memerintah, PAP mewujudkan Pusat Komuniti Setempat bertujuan menjadi platform aktiviti setiap kawasan perumahan. Pusat ini juga gagal menarik masyarakat Islam terutamanya golongan wanita yang lebih gemar mengadakan aktiviti kemasyarakatan di masjid-masjid.

''Sehingga kini PAP mencari sebab sebenar masyarakat Islam tidak tertarik pada Pusat Komuniti Setempat. Parti pemerintah gagal memahami bahawa masyarakat Islam lebih gemar menjalankan aktiviti kemasyarakatan secara berasingan jika mereka merupakan kumpulan minoriti dalam sesebuah persekitaran sosial.

''Dan kini Kuan Yew menggesa masyarakat Islam untuk bergaul dan kahwin campur. Ini berkemungkinan menjauhkan masyarakat Melayu dari menyokong PAP. Dan jika pembangkang di Singapura cukup bijak untuk memahami dan menerima semua ciri-ciri masyarakat Islam, undi masyarakat Melayu akan berpihak kepada mereka," tambah portal tersebut.

Bilangan masyarakat Melayu Singapura yang memilih untuk berhijrah ke negara lain juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Berita Harian Singapura dalam satu laporan pada penghujung 2009 mengatakan bilangan penduduk Melayu Singapura yang berhijrah ke Australia menunjukkan trend peningkatan dengan 30 peratus daripada penduduk Singapura yang berhijrah ke negara tersebut merupakan orang Melayu.

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kritikan pedas daripada masyarakat Melayu Singapura apabila beliau menyentuh mengenai nasib orang Melayu di republik tersebut.

''Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud, tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan," begitulah reaksi yang diberikan kepada kenyataan Dr. Mahathir mengenai nasib Melayu di Singapura.

Salah satu reaksi kepada kenyataan Dr. Mahathir mendakwa orang Melayu Singapura maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam terpelihara di republik berkenaan walaupun bukan sebagai agama rasmi.

Bagaimanapun, melihat kepada kenyataan terkini Kuan Yew supaya masyarakat Islam Singapura tidak terlalu kuat kepada ajaran Islam, mungkinkah agama Islam akan terus terpelihara di Singapura?

Semua ini terpulang kepada masyarakat Melayu di republik tersebut untuk terus akur kepada pemimpin veteran mereka atau sebaliknya.
 
Utusan Malaysia

1 comment: