Tuesday, January 11, 2011

Kebun Kelapa Akan Pupus?

Kebelakangan ini negara berhadapan dengan isu kekurangan bekalan kelapa sehingga memaksa negara mengimport kelapa dari negara jiran.

Jika dahulu isu kekurangan kelapa hanya kedengaran pada masa perayaan seperti Hari Raya lantaran permintaan yang meningkat, kini kekurangan kelapa berlaku tanpa mengira musim dan waktu.

Agak mengecewakan kerana suatu ketika dahulu Malaysia dikenali sebagai salah sebuah negara pengeluar kelapa terbesar di dunia, tetapi kini perlu mengimport akibat bekalan dalam negara semakin berkurangan.

Pada pandangan saya, ada beberapa sebab kenapa bekalan kelapa negara ini kian merosot, malah akhirnya boleh menyebabkan negara kepupusan terus hasil pertanian tersebut dan bergantung sepenuhnya kepada import.

Sektor pertanian yang pernah menjadi sumber utama ekonomi negara menyaksikan produk pertanian diberi keutamaan, seperti getah, padi dan kelapa khususnya, selain tanaman lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran juga perikanan.

Namun peredaran masa bukan sahaja menyaksikan sektor pertanian semakin diambil alih oleh sektor perindustrian sebagai sumber ekonomi negara, malah sektor pertanian itu sendiri melalui perubahan ketara.

Antara yang paling jelas dalam konteks ini ialah tanaman kelapa sawit semakin lama semakin berkembang pesat di seluruh negara. Ini kerana harga sawit jauh lebih tinggi daripada harga kelapa. Akibatnya kita bukan sahaja menyaksikan estet-estet menebang pokok-pokok kelapa dan menggantikannya dengan kelapa sawit, malah pekebun-pekebun kecil pun turut berbuat demikian.

Contohnya di kawasan Bagan Datoh, Perak, yang suatu ketika dikenali sebagai sebuah kawasan tenaman kelapa terbesar di dalam negara. Tetapi kini estet-estet kelapa digantikan dengan kelapa sawit.

Kebun-kebun kecil juga kini bertukar menjadi kebun kelapa sawit walaupun masih ada juga yang meneruskan tanaman kelapa.

Fenomena ini sukar dihalang kerana pekebun didorong keinginan untuk menambah pendapatan. Harga kelapa sawit bukan sahaja tinggi, malah hasilnya boleh dikutip tiga minggu sekali. Ini berbanding dengan kelapa yang harganya lebih rendah dan biasanya dikutip dua bulan sekali.

Saya percaya penanaman kelapa sawit secara besar-besaran dengan mengorbankan pokok kelapa menjadi antara punca bekalan kelapa negara semakin berkurangan sedangkan permintaan tinggi.

Sudahlah bekalan sedikit, banyak buah kelapa dipetik ketika masih muda untuk dijual sebagai kelapa muda. Inilah natijah kempen 'makan kelapa muda' dan 'minum air kelapa muda' yang dilancarkan beberapa tahun lalu sebagai usaha meingkatkan harga kelapa yang ketika itu rendah.

Jelas kempen ini berjaya. Kelapa muda dan air kelapa muda laris, baik dari warung tepi jalan hinggalah ke hotel-hotel besar. Namun akibat yang terpaksa kita tanggung ialah bekalan kelapa tua berkurangan.

Saya tidak pasti apakah yang wajar dilakukan oleh kerajaan dalam usaha menangangi masalah kekurangan bekalan kelapa ini.

Mungkinkah kerajaan hendak memperhebatkan lagi tanaman kelapa bersaing dengan kelapa sawit? Atau adakah keadaan yang wujud sekarang dibiarkan berterusan dan kita memenuhi keperluan melalui import?

Cuma yang perlu kita ingat ialah jika trend tanaman kelapa sawit semakin berterusan dengan mengorbankan kebun-kebun kelapa, akhirnya tidak akan ada lagi kebun kelapa, semuanya pupus.

Akhirnya bukan sahaja pengguna akan bergantung sepenuhnya kepada kelapa import, malah industri berkaitan kelapa seperti santan, juga akan menghadapi fenomena sama.

Anak Pekebun Kelapa
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment