Saturday, January 29, 2011

Abai Pertanian, Derita Kemudian

KUNTA Kinte dah dua, tiga kali tulis pasal pertanian dan harga makanan. Kunta Kinte risau dengan hala tuju pengeluaran dan harga barang makanan sekarang.

Jadi Kunta Kinte nak bincang sekali lagi. Manalah tahu dengan kita bincang hal ini, lebih ramai orang dan lebih banyak pihak akan tambah faham dan cari jalan hadapi masalah ini.

Kunta Kinte rasa tak cukup lagi dengan kerajaan bagi alasan harga barang makanan di negara kita lebih murah daripada di negara jiran atau kita salahkan orang lain bila bekalan kurang dan harga naik.

Yang lebih Kunta Kinte takut adalah kita tak cukup faham atau tak cukup ambil berat untuk faham keadaan bekalan dan harga makanan dunia.

Misalnya, bila harga gula naik atau bekalan hilang dari pasaran, kita tuduh peniaga sorok. Kita salahkan penyeludupan dan orang kita beli berlebihan.

Atau kita kata kurangkan makan gula bagus untuk kesihatan. Kunta Kinte tak kata kurang makan gula tak baik untuk kesihatan. Memang itu betul. Kepada Kunta Kinte tak jadi hal pasal Kunta Kinte memang tak makan gula pasir dah berpuluh tahun. Ada tak adapun bila minum teh masala (teh berempah) susu lembu. Kena bubuh dalam satu sudu kecil.

Ini semua adalah alasan sementara saja. Dalam jangka masa panjang, kita kena faham dan akui memang dunia akan kekurangan gula dan harga gula di negara kita mesti naik.

Kita ambil bencana banjir yang landa timur Australia dan Brazil sekarang. Dua negara itu adalah pengeluar gula tebu terbesar di dunia. Banyak ladang tebu musnah. Brazil juga antara pengeluar kacang soya utama dunia.

Memang dah sah bekalan gula dan kacang soya akan jatuh dalam masa setahun dua ini. Tambah pula musim sejuk yang sangat teruk di hemisfera Utara yang babitkan China, Amerika Utara dan Eropah.

Ceritanya mudah saja. Bila cuaca buruk, pengeluaran kurang. Bila pengeluaran kurang tapi permintaan tetap sama, harga mesti naik. Itulah kesan bekalan dan permintaan ke atas harga barangan.

Kita akan rasa kesannya pasal banyak juga import gula kita adalah dari Australia. Bukan itu saja. Dari semasa ke semasa, kita buat perjanjian jangka panjang beli gula dari negara itu.

Jadi, ada masa apabila harga gula dunia naik, harga kita kekal. Kalau naik pun sikit saja sebab bawah perjanjian jangka panjang itu, kita bayar harga yang lebih rendah daripada harga semasa di pasaran dunia. Kemudian dalam negara, harga gula dikawal kerana kerajaan bagi subsidi.

Tapi dalam suasana perdagangan baru dan permintaan yang makin bertambah, nak buat perjanjian macam tu dah tak mudah lagi. Dari apa yang Kunta Kinte selidik, perjanjian terakhir dengan Australia adalah antara 2006 dan 2008.

Dulu kita cuba tanam tebu untuk buat gula tapi tak berjaya pasal cuaca kurang sesuai dan harga pun tinggi. Jadi sekarang ini boleh kata 99 peratus gula yang kita makan kita import. Kita beli 509,630 tan dari Brazil, 447,480 tan dari Australia, 174,000 tan dari Thailand, 99,400 tan dari Nicaragua dan 12,430 tan dari Guatemala. Yang kita keluar sendiri hanya 17,000 tan.

Sekarang kita taulah pasal apa ‘Raja Gula’ Robert Kuok tiba-tiba keluar daripada perniagaan gula di Malaysia. Sebab dia tahu lambat laun bekalan gula murah dan subsidi gula akan tamat. Jadi Kunta Kinte hairan sikitlah macam mana FELDA boleh pergi beli semua aset gula Robert Kuok di Malaysia.

Robert Kuok ni dia licik. Dia jual monopoli gula dia di Malaysia kepada FELDA dan guna duit itu untuk beli syarikat CSR Limited, pengeluar gula terbesar di Australia. Sekarang kalau FELDA nak import gula dari Australia, ia kena beli dari syarikat milik Robert Kuok.

Itulah hebatnya tauke Cina yang bermastautin di Hong Kong itu. Dia buat untung berbilion ringgit pegang monopoli gula di Malaysia sejak zaman bapa dia, Kuok Keng Kang.

Bila harapan buat untung besar berniaga runcit di Malaysia dah kurang, dia cepat-cepat pergi berniaga borong di Australia. Jadi Kunta Kinte pening sikitlah bila FELDA beli aset gula yang Robert Kuok dah tak berapa minat tu.

Bukan apa, Kunta Kinte takut lepas ni bila harga gula naik atau bekalan gula kurang, orang akan kutuk FELDA. Wallahualam.

Berbalik kepada isu bekalan dan harga makanan, Kunta Kinte risau kalau kita tak tingkatkan pengeluaran makanan dalam negara atau kita pergi ke luar negara untuk hasilkan makanan macam China buat, kita mungkin hadapi krisis makanan.

Dengan cuaca alam yang tambah tak menentu dan bilangan penduduk dunia yang tambah ramai, perebutan sumber semula jadi dan makanan akan jadi lebih sengit. Kalau kita tak bersedia, tak mustahil kita akan alami kekurangan makanan dan inflasi yang teruk.

Jadi janganlah kita abai pertanian dan pandang rendah sumbangan petani kita semata-mata kerana kita nak jadi negara perindustrian teknologi tinggi dan negara perkhidmatan taraf dunia.

Ingatlah, kalau tak ada benda nak makan, duit bertimbun tak guna satu sen pun.

 bharian - Kunta Kinte

No comments:

Post a Comment