Saturday, January 8, 2011

Lihat Nasib Melayu Singapura

SHAH ALAM 6 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, semangat perpaduan orang Melayu semasa menumbangkan Malayan Union pada 1948 perlu dikekalkan oleh generasi masa kini jika tidak mahu nasib mereka menjadi seperti masyarakat Melayu di Singapura.

Bekas Perdana Menteri berkata, meskipun orang Melayu di republik itu hanya mewakili kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan penduduknya, golongan tersebut seolah-olah dipinggirkan dan ketinggalan.

Ini kerana, kata beliau, orang Melayu Singapura tidak banyak mendapat tempat dalam kerajaan, universiti dan juga tidak dibenarkan mengendalikan senjata dalam tentera kerana dibimbangi akan memberontak.

“Jika Malayan Union dikekalkan, pasti bangsa Melayu sekarang akan ketinggalan dan ditindas seperti yang berlaku di Singapura, malah kita juga mungkin jadi mundur dan termiskin walaupun menjadi majoriti.

“Pasti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM), sekolah untuk memberi latihan untuk orang Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang membantu nasib orang Melayu juga tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Seminar Perdana: Perpaduan Asas Pembangunan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini petang ini.

Hadir sama Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dr. Mahathir turut melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pihak yang terlalu takut untuk mempertahankan hak mereka sebagai orang Melayu dan membincangkan masalah mereka kerana bimbang dilabelkan sebagai perkauman.

Malah kata beliau, untuk menyebut asal usul negara ini adalah Tanah Melayu juga dianggap perkauman sedangkan kenyataan itu ada dalam sejarah negara yang bakal dijadikan mata pelajaran wajib tidak lama lagi.

“Sebenarnya mereka lupa orang Melayu telah banyak berkorban dan mengalah sejak dahulu untuk mengekalkan perpaduan kaum di negara ini.

“Antaranya membenarkan nama Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia, Bahasa Melayu ditukar kepada Bahasa Malaysia, membenarkan kaum lain menjadi warganegara, memperkenalkan DEB yang begitu bertimbang rasa terhadap orang-orang kaya termasuk daripada kaum lain,’’ katanya.

Beliau berkata, masyarakat Melayu juga tidak pernah mempertikaikan kontrak swasta yang hampir semua diberikan kepada kaum lain dan tempat di universiti swasta penuh diisi oleh kaum lain.

“Sedangkan mereka mempertikaikan hak yang telah diperuntukkan kepada kontraktor bumiputera dalam memperoleh kontrak kerajaan dan kuota Melayu di universiti awam,” kata beliau.

Katanya, orang Melayu perlu mengekalkan perpaduan di kalangan mereka bukan untuk merampas hak orang lain tetapi untuk mengekalkan hak dan keistimewaan bangsa sendiri.

Dalam hal ini, beliau berkata, golongan yang terlalu mengutamakan merit sebenarnya memberikan ruang kepada kaum lain untuk muncul sebagai yang terbaik dan akhirnya Melayu akan menjadi seperti di Singapura.

“Walaupun cadangan asalnya membenarkan orang Melayu menjadi Perdana Menteri dan kaum lain dilantik menjadi timbalannya tetapi akhirnya orang Melayu akan tetap terpinggir.

“Bukan mahu mengatakan orang Melayu ini tidak berkeupayaan tetapi kalau nak lihat orang Melayu kita jadi macam di Singapura, undilah parti lawan,” kata beliau sinis.

Oleh :  Azian Aziz

1 comment:

  1. PERLU ADA JATI DIRI DAN KEMAMPUAN MEMPERTAHANKAN SEJARAH DAN IDENTITI NEGARA INI...MALAYSIA TIDAK PERLU MENJADI KLON...MANA2 NEGARA LAIN APATAH LAGI NEGARA JIRAN...

    ReplyDelete