Wednesday, June 16, 2021

Tidak Pernah Terlihat Pun Politikus Negara Memperjuangkan Perlaksanaan Sekolah Satu Aliran.....

Terlaksanakah sekolah satu aliran?
Persekolahan satu aliran yang menjadi polemik hangat dari semasa ke semasa perlu dibincangkan untuk dimuktamadkan dari segi kebolehlaksanaannya, sama ada dalam waktu terdekat mahupun jangka masa panjang. Ini kerana ia keperluan negara yang mendesak semenjak sekian lama untuk perpaduan erat lagi utuh. Namun, ia tidak mahu diambil serius oleh pemerintah.

Sehubungan itu, Ordinan Pendidikan 1952 yang dikeluarkan British membuat ketetapan, sekolah satu aliran adalah tempat belajar sebenarnya dalam sistem pendidikan negara. Dengan ini, sekolah vernakular tiada tempat di dalamnya. Namun, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, manifesto untuk membenarkan perkembangan sekolah vernakular secara biasa sesungguhnya menempelak dasar British yang antisekolah Cina.

Tidak cukup dengan janji ini, Ordinan Pendidikan 1957 yang kita buat ikut menjamin penerusan sekolah vernakular pada sekolah rendah. Untuk sekolah menengah Cina, Akta Pendidikan 1961 digunakan untuk menyarannya menjadi sekolah kerajaan. Sehubungan itu, 72 daripada 86 bertukar dan selebihnya menjadi sekolah menengah persendirian Cina.

Pendidikan Cina di negara ini bukan sahaja diperjuang untuk melestarikan sekolah Cina awam dan swasta, ia juga untuk menjadikan bahasa Mandarin bahasa rasmi bersekali dengan bahasa Melayu. Ini dapat dilihat pada isu bahasa kebangsaan yang dipertikai secara agresif lagi provokatif pada PRU 1959, 1964 dan 1969.

Bagaimanapun, ia tidak kedengaran lagi selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ini kerana perbincangan terbuka tentang bahasa kebangsaan yang mempunyai unsur hasutan boleh menyebabkan seseorang atau sesuatu pihak disabitkan Akta Hasutan 1948.

Persekolahan satu aliran yang sepatutnya menjadi norma, iaitu sebagai model dan prinsip kepada tindakan betul tentang nilai penyatupaduan bestari dalam sistem pendidikan negara didapati gagal dilakukan kerana percaturan politik yang lebih mementingkan kekuasaan parti politik untuk mula memerintah dan selepas itu terus memerintah.

Sehubungan itu, politik lebih-lebih lagi pada dimensi kuasa didapati faktor yang merosakkan banyak perkara baik untuk negara. Ini berlaku pada masa dahulu, sedang berlaku kini dan pasti akan terus berlaku sepanjang waktu selagi kepimpinan kita tiada jiwa negarawan. Sebagai ahli politik semata-mata, janji untuk melindungi pendidikan Cina akan terus dijuarai.

Sistem pendidikan negara sepatutnya mengambil haluan progresif ekoran peristiwa 13 Mei itu bersekali kerangka perpaduan dalam bidang ekonomi, iaitu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sehubungan waktu terdesak yang memerlukan tindakan terpaksa, persekolahan satu aliran sepatutnya menggantikan bentuk pelbagai aliran sebagai langkah untuk memulihkan negara akibat hubungan etnik tidak baik yang mencetuskan perbalahan kaum itu.

MAGERAN
Malangnya ia tidak dilakukan walaupun negara berada di bawah kekuasaan Majlis Gerakan Negara (Mageran). Dengan itu, ia bukan sahaja peluang yang terlepas. Ini kerana negara berada dalam keadaan darurat keselamatan yang membolehkan kita menggubal sebarang perundangan yang perlu untuk menangani masalah yang dihadapi akibat hubungan etnik rapuh yang membawa kesan buruk kepada negara. Ia juga peluang yang hilang. Dalam hal ini, sudah tentu kita sesekali tidak mahu peristiwa hitam tersebut berulang lagi untuk dimanfaatkan bagi mengadakan persekolahan satu aliran yang terlepas itu.

Bukan sahaja kehilangan peluang itu, kita juga kehilangan faedah daripada kebaikan sistem persekolahan yang merupakan norma di seluruh dunia untuk penyatupaduan anak bangsa termasuklah negara monoentik, apatah lagi Malaysia yang multietnik.

Sebenarnya persekolahan satu aliran tidak mudah diwujudkan dalam keadaan biasa, yakni semasa tiadanya darurat keselamatan. Ini dapat dilihat daripada bantahan keras etnik bukan Melayu yang menganggapnya sebagai hak mereka sedangkan ia keistimewaan sahaja. Selain itu, tiadanya keazaman politik daripada kepimpinan kita, iaitu tiada iltizam untuk melaksanakan sesuatu dasar, apatah lagi yang tidak dapat dilihat dampak baiknya dalam waktu terdekat adalah faktor lainnya.

Persekolahan satu aliran akan melenyapkan kelangsungan politik parti yang mahu melaksanakannya, ia akan menghuru-harakan negara akibat penentangan yang kuat serta walaupun baik ia tidak diingini rakyat adalah antara kenyataan politik daripada kepimpinan kita. Sehubungan itu, ia memperlihat mereka lebih memikirkan PRU akan datang dan bukannya negara pada masa mendatang.

Ini berbeza sekali dengan kepemimpinan jiran kita yang tegas melaksanakan persekolahan satu aliran walaupun ditentang keras oleh etnik Cina. Melalui keazaman politik, kini bukan sahaja anak bangsanya bersatu padu antaranya dalam mendukung identiti nasional sama akibat sejenis persekolahan sahaja, mereka berupaya bergerak sederap sebagai satu komuniti nasional di dalam dan luar negara.

Nampaknya kita akan selama-lamanya tidak bersatu padu dalam erti kata sebenarnya. Ini kerana kita tidak mahu mengendahkan petua mudah, iaitu kanak-kanak yang belajar bersama-sama sewaktu kecil akan terus bersama-sama ketika dewasa dan sehingga ke akhir hayat. Ini hanya boleh berlaku dengan persekolahan satu aliran yang bermula di tadika serta sekolah rendah dan berterusan di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi. Dengan ini, kita akan peroleh hasilnya di tempat kerja yang memperlihat adanya bukan sahaja pergaulan bebas tetapi juga persahabatan tulen antara kita.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment