Sunday, July 7, 2019

Melayu Alami Krisis Identiti

SEBENARNYA pada hari ini orang Melayu khususnya golongan muda sedang mengalami krisis identiti amat serius dalam soal sama ada ingin mengekalkan sifat-sifat sebagai Melayu atau mempertahankan ideal dan nilai Islam sebagai seorang Muslim.

Ini kerana ramai dalam kalangan mereka tidak faham mengenai apa itu Islam. Jika Islam itu agama, adakah sama seperti Kristian dan agama lain? Perkataan Arab iaitu din yang sering diguna bagi merujuk kepada Islam tidak bermaksud agama.

Semua sarjana dan ulama bersetuju bahawa perkataan din merujuk kepada sistem kehidupan berkaitan dengan Tuhan. Berdasarkan hakikat itu, kerangka pemikiran orang Melayu perlu jelas.

Satu lagi hakikat yang saya mahu sentuh adalah tiada ayat al-Quran yang dimulakan dengan perkataan “Wahai orang-orang Islam” tetapi yang selalunya ada adalah “Wahai orang-orang yang bertakwa” atau “Wahai manusia.”

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini sejak berzaman dahulu adalah naratif pertentangan antara orang Islam dan bukan Islam sedangkan ia adalah bersalahan dengan tujuan asal penciptaan manusia di atas muka bumi.

Ingatlah, orang bukan Islam juga dicipta sama seperti kita dan mereka percaya adanya Tuhan, cuma tidak beriman kepada Allah.

Sebenarnya, perkataan Islam pada hari ini telah dikomersialkan sebagai satu jenama dalam kehidupan.

Contohnya, ucapan pemimpin sebuah parti politik ketika pilihan raya lalu yang menyatakan akan menyokong mana-mana parti yang berjuang untuk kebaikan Islam dan akan menentang mana-mana pihak yang berjuang untuk keburukan Islam.

Bagi saya, ini adalah pernyataan yang salah dan pemimpin tersebut sebenarnya keliru perbezaan antara Islam dan umatnya.

Sepatutnya pemimpin tersebut menyatakan bahawa parti mereka akan menyokong mana-mana parti yang berjuang untuk kebaikan ummah dan akan menentang mana-mana pihak yang berjuang untuk keburukan ummah.

Tetapi pemimpin itu menggunakan perkataan Islam kerana ia telah menjadi jenama komersial untuk dipolitikkan. Terdapat beberapa ucapan lain yang membuktikan kita masih dalam kerangka pemikiran tidak berubah seperti ungkapan untuk menakluk Putrajaya bersama Islam sedangkan sepatutnya bersama ummah.

Ada juga ucapan menyebut sesebuah parti itu tidak perlu berkempen kerana malaikat akan membantu memenangkan parti berkenaan. Sebenarnya, perkara yang diberi penekanan dalam al-Quran adalah nilai dan ideal yang dibawa oleh Islam. Itu yang seharusnya dipertahankan.

Sekiranya generasi muda bercakap untuk mempertahankan idealisme Islam, kita akan lebih banyak beruntung dan dapat bekerjasama dengan pihak lain. Tetapi jika kita lebih banyak mempertahan sifat-sifat Melayu kerana terlupa bahawa Melayu itu bukan agama tetapi bangsa, maka kita tidak akan dapat keluar daripada kepompong dengan identiti sebegitu.

Menyentuh ungkapan diguna sekarang seperti ‘Malaysia Baharu’ dan ‘Melayu Baharu’, ia sebenarnya tidak boleh diguna pakai kerana orang Melayu masih individu sama.

Kita adalah hamba Allah yang perlu mempertahankan ideal dan nilai Islam seperti yang telah diamalkan sebelum ini. Saya juga bersetuju dengan pandangan bahawa pendidikan dapat menentukan hala tuju generasi muda Melayu pada masa depan.

Dalam aspek mata pelajaran agama Islam pula, ruang lingkup silibus perlu diperluaskan dan tidak sekadar menyentuh mengenai Rukun Islam yang lima perkara sahaja.

Bagaimana pula soal-soal lain yang tidak kurang penting seperti mengambil hak orang lain, memfitnah, merompak dan menipu yang berlaku di mana-mana.

Kesimpulannya, orang Melayu pada masa sekarang sedang menghadapi cabaran cukup hebat. Maksudnya, masyarakat itu khususnya golongan muda sedang mengalami krisis kerana kita lebih tertumpu untuk mengekal identiti Melayu sedangkan sepatutnya mempertahankan nilai dan ideal Islam. Kekeliruan dan krisis ini harus diperbetulkan.

Oleh: Ahmad Nazri Abdullah 

No comments:

Post a Comment