Saturday, July 6, 2019

Bahasa Kebangsaan: Bagaimana Perlembagaan Boleh Bertukar Hiasan

SOAL papan tanda jalan selain daripada bahasa Melayu adalah antara cerminan bagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan boleh menjadi sekadar hiasan dalam dokumen perundangan tertinggi negara.

Biarpun disebut dalam Perkara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang kemudian diberi tafsiran jelas dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967, namun masih ada yang tidak peduli.

Sehinggalah memaksa campur tangan institusi raja, barulah perkara yang sudah terang lagi bersuluh seperti itu mahu dipatuhi. Sedangkan di peringkat pentadbiran sama ada politik mahupun penjawat awam semuanya mengangkat sumpah menjunjung Perlembagaan.

Justeru timbul tanda tanya bagaimana dengan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan? Soal Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Melayu dan bumiputera, hak sah kaum lain, kebebasan asasi dan bermacam lagi.

Apakah peruntukan Perlembagaan akan dipatuhi atau sebaliknya dilanggari menerusi tafsiran berdasarkan selera dan kepentingan politik semasa?

Seperti mana papan tanda jalan, hal ini boleh berlaku kerana Perlembagaan tidak mempunyai kuasa menghukum, sebaliknya mengharapkan pihak lain iaitu kerajaan dalam memberi makna kepada setiap peruntukan di dalamnya.

Tidak ada peruntukan hukuman ke atas mereka yang tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan. Ini tidak seperti Kanun Keseksaan atau undang-undang lain.

Maka di sinilah letaknya kepada pemimpin kerajaan dan rakyat untuk menjunjung tinggi Perlembagaan dengan memastikan setiap tindak-tanduk menurut undang-undang tertinggi negara.

Dalam konteks bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan, elok benarlah diberikan kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakannya, bukan sekadar kuasa mengeluarkan surat nasihat.

Sudah lama tokoh dan aktivis bahasa meminta kuasa tersebut. Harapnya menjadi realiti dalam era Malaysia baharu.

Oleh: Herman Hamid

No comments:

Post a Comment