Thursday, July 25, 2019

Cerita Apa Ini.....

Konspirasi politik bukan kesalahan jenayah
Kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri Kabinet belum nampak pengakhirannya. Tidak jelas bagaimana kes ini akan diakhiri. Selagi tidak diakhiri, ia menjadi api dalam sekam, duri dalam daging yang membakar dan merobek PKR dan menjadi beban yang sangat besar buat Pakatan Harapan.

Apakah kes ini sememangnya dirancang supaya tiada pengakhiran yang segera? Apakah ada pihak berkepentingan yang sengaja membiarkan kes ini berterusan supaya mereka punya masa untuk membuat “deal” di belakang tabir? Apakah terdapat usaha tersusun untuk memanjangkan kes ini supaya ia terus berlarutan agar pihak yang berkonflik semakin tajam perpecahannya dan menjadi lemah? Dan kalau kes ini berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas, siapakah yang mendapat untung daripadanya?

Persoalan ini membawa kita kepada satu istilah yang kerap digunakan sekarang apabila merujuk kepada kes video seks tersebut – konspirasi politik.

Istilah konspirasi merujuk kepada satu bentuk pakatan, komplot atau persekongkolan antara 2 orang atau lebih secara rahsia untuk melakukan tindakan bagi mencapai tujuan yang dipersetujui bersama.

Manakala politik merujuk kepada kuasa yang membolehkan pemegang kuasa menentukan sumber bernilai dalam pelbagai bentuk diagihkan kepada siapa, bila dan bagaimana.

Justeru itu, konspirasi politik secara mudahnya adalah suatu komplot rahsia antara 2 atau lebih orang untuk mendapatkan kuasa. Memandangkan kuasa yang bakal diperolehi itu akan menentukan bagaimana sumber bernilai diurus dan diagihkan, maka konspirasi politik adalah aktiviti lumrah dalam persaingan untuk mendapatkan kuasa di mana-mana negara di dunia.

Memandangkan ia adalah lumrah dan wujud sebagai sebahagian daripada sifat yang terkandung dalam persaingan kuasa untuk merebut sumber, ia tidak dianggap sebagai suatu kesalahan jenayah. Ia mungkin boleh dianggap sebagai kesalahan moral dan etika, tapi bukan kesalahan jenayah.

Dan dalam konteks negara kita Malaysia, tiada undang-undang yang menyatakan konspirasi politik itu suatu kesalahan jenayah. Malahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah dituduh sebagai dalang kepada konspirasi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri yang kemudiannya mencetuskan gerakan reformasi 1998.

Walaupun Mahathir pernah dituduh sebagai dalangnya tapi tiada undang-undang negara yang boleh menyabitkan beliau dengan kesalahan konspirasi politik. Kalau hendak disabitkan dengan kesalahan, yang termaktub dalam undang-undang hanyalah kesalahan penyalahgunaan kuasa, misalnya mempengaruhi polis untuk meneruskan atau tidak meneruskan tindakan yang sewajarnya.

Inilah yang terjadi kepada Anwar pada tahun-tahun reformasi. Beliau dipenjarakan pada waktu itu bukan kerana liwat tetapi kerana penyalahgunaan kuasa, yakni beliau dikatakan menggunakan kedudukan dan kuasanya sebagai timbalan peradana menteri ketika itu untuk mempengaruhi polis bagi mengetepikan siasatan ke atas tuduhan liwat yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

Justeru, berkonspirasi politik bukanlah suatu kesalahan jenayah. Kecuali kalau dapat dibuktikan seseorang itu menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk mempengaruhi institusi negara misalnya polis, bagi mencapai matlamat politiknya – hanya setelah hal itu dibuktikan barulah boleh ia dikatakan kesalahan jenayah dalam bentuk penyalahgunaan kuasa.

Justeru, kalau diteliti daripada kes video seks yang pelakunya dikatakan mirip wajah seorang menteri Kabinet itu terdapat 2 bentuk konspirasi politik yang diketengahkan kepada masyarakat awam.

Pertama, konspirasi untuk menjatuhkan menteri Kabinet tersebut. Jatuh-menjatuh, cantas-mencantas adalah suatu tindakan politik yang lumrah dalam persaingan kuasa. Tiada apa-apa kesalahan jenayah dalam tindakan politik ini. Yang menjadi kesalahan jenayah adalah kaedah yang digunakan, yakni menerbitkan dan mengedar kandungan lucah kepada masyarakat awam.

Kedua, konspirasi untuk menghalang ahli Parlimen yang dijanjikan dengan jawatan perdana menteri daripada mendapatkan jawatan tersebut. Ini juga bukanlah kesalahan jenayah. Yang menjadi kesalahan jenayah dalam konteks konspirasi ke-2 ini, seperti mana konspirasi pertama ialah kaedahnya.

Apakah kaedah yang digunakan untuk menghalang ahli Parlimen yang dijanjikan jawatan perdana menteri itu melibatkan penyalahgunaan kuasa? Apakah kuasa yang dimiliki itu digunakan untuk mempengaruhi institusi negara, dalam kes ini polis, agar ahli Parlimen tersebut akhirnya diketepikan daripada menjawat jawatan perdana menteri?

Pada 12 Jun 2019 ketika ditanya wartawan tentang video seks tersebut, Mahathir berkata, “I don’t think this thing is true. Because nowdays you can produce all kinds of pictures if you are clever enough” atau dengan kata lain Mahathir berpandangan video tersebut adalah palsu dan dengan teknologi hari ini ia boleh dimanipulasikan. Selanjutnya Mahathir turut menyatakan, “This is cooked up by somebody who has a political agenda” yang membawa maksud video ini dibuat oleh seseorang yang punya agenda politik yang tertentu.

Kenyataan Mahathir ini dibuat sebelum pihak polis selesai menjalankan siasatan mereka. Kalau diteliti dari kenyataan Mahathir itu, tumpuan beliau bukan kepada siapa pelaku aktiviti seksual tersebut tetapi kepada ketulenan video dan siapa dalang di belakangnya.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, pada 18 Julai 2019, setelah lebih kurang sebulan melakukan siasatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akhirnya mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyatakan kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi tetapi hasil pengecaman wajah adalah negatif. Namun begitu beliau tidak pula memperincikan bagaimana keputusan negatif itu diperolehi.

Yang lebih memusykilkan lagi apabila tersebar berita bahawa pakar forensik imej digital dari syarikat di Indonesia pula memutuskan pengecaman wajah mereka yang didakwa melakukan aktiviti seksual itu adalah positif.

Selanjutnya Hamid turut menyatakan dalang yang terbabit di dalam “pakatan jahat” menghasilkan video tersebut adalah seorang pemimpin parti politik.
Dikatakan juga pemimpin parti politik itu mengupah pihak tertentu dengan biaya ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan video seks itu. Sekali lagi tiada perincian yang dihuraikan oleh beliau bagaimana penemuan ini diperolehi.

Membandingkan kenyataan Mahathir pada 12 Jun 2019 dan kenyataan Hamid pada 18 Julai 2019 suatu persoalan timbul – apakah fokus ketua polis negara dalam siasatan terhadap video tersebut dipengaruhi oleh kenyataan Mahathir selaku pemegang kuasa tertinggi pemerintahan negara? Apakah Hamid bertindak bebas daripada pengaruh Mahathir? Apakah Hamid benar-benar bertindak mengikut keluhuran undang-undang negara?

Jika Hamid benar-benar bebas dan dan mematuhi keluhuran undang-undang negara, kenapa fokus siasatan hanya tertumpu kepada mencari dalang semata-mata? Kenapa siasatan untuk mencari dan membuktikan siapa pelakunya tidak diberi tumpuan yang sama penting? Konspirasi politik bukanlah kesalahan jenayah. Tapi menerbit dan mengedar bahan lucah adalah kesalahan jenayah.

Begitu juga dengan melakukan seks di luar tabii turut termaktub dalam Kanun Keseksaan perkara 377B sebagai suatu kesalahan jenayah. Sehinggalah ahli Parlimen kita membatalkan perkara tersebut, tidak dapat tidak ia masih tetap menjadi sebahagian daripada undang-undang negara.

Seperti mana yang dihuraikan sebelumnya – konspirasi politik bukan suatu kesalahan jenayah. Tapi menyalahgunakan institusi negara, kedudukan dan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjayakan agenda politik diri sendiri atau diri proksi yang menaungi bukan sahaja suatu kesalahan jenayah tetapi juga suatu kesalahan moral dan etika.

Oleh: Hafez Darwis

No comments:

Post a Comment