Thursday, July 19, 2018

UEC Kikis Identiti Kebangsaan

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berpandangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dilaksanakan oleh sekolah persendirian Cina di negara ini akan menyebabkan negara hilang identiti kebangsaan.

UEC adalah sijil yang mengetepikan soal bahasa kebangsaan sebagai bahasa pembentuk ciri negara ini.

Kurikulum bahasa pengantar yang digubal secara berlawanan dengan arus perdana bahasa kebangsaan akan menghakis nilai-nilai warga Malaysia yang selama ini telah diusahakan bersama pelbagai pihak.

Akta Pendidikan 1969 yang dirumus dan diluluskan di Parlimen telah menetapkan Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai medium pengantar dalam semua institusi pendidikan yang berdaftar.

Sejak itu, semua kaum menerima hakikat bahawa bahasa Melayu adalah bahasa teras membentuk sahsiah dan jati diri generasi pewaris negara ini.

Sejak kemerdekaan lagi ruang pendidikan vernakular dibenarkan malah diberi peruntukan oleh kerajaan.

Bukan sahaja melahirkan pelajar yang sebati dengan bahasa kebangsaan malah membenarkan bahasa ibunda kaum masing-masing dipelajari adalah suatu kesepakatan yang cukup unik dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Isu pokoknya ialah bukan sekadar sijil UEC yang mahu diiktiraf malah mereka mahu mengubah dasar keseluruhan pendidikan di negara ini dengan mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar sekali gus jati diri nasional dalam kalangan murid dari usia muda.

Persoalannya, kenapa hal ini muncul dalam usaha kita mahu memupuk generasi Malaysia dengan kebersamaan jati diri nasional melalui bahasa kebangsaan?

Dengan hanya menambah subjek bahasa Melayu dalam pengajaran sedangkan subjek lain diajar dalam bahasa Cina jelas menunjukkan mereka mahu menunjukkan bahasa kebangsaan tidak penting untuk membentuk 
masyarakat di 
negara ini.

Para pemikir dan penggubal sistem pendidikan negara sudah sekian lama meneliti implikasi menjadikan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

UEC bukan sahaja harus ditolak malah kerajaan harus menyemak kelulusan sekolah persendirian yang mengguna bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Pengiktirafan UEC akan membuka pintu kepada pelbagai rombakan terhadap teras pendidikan negara yang akhirnya menjadikan pendidikan di negara ini tanpa sifat mahu pun nilai kebangsaan.

Sekolah persendirian Cina harus menerima dasar-dasar negara dan fahami implikasi kepada matlamat integrasi nasional terhadap generasi muda jika pendidikan gersang daripada penguasaan bahasa kebangsaan.

Isu UEC bukan sekadar isu bahasa pengantar tetapi melibatkan teras pembentukan sahsiah diri nasional pewaris negara dari usia muda.

No comments:

Post a Comment