Monday, May 20, 2013

Percumakah Kehidupan Kita?

HAMPIR semua orang inginkan segala perkara dalam kehidupan ini secara percuma supaya tidak perlu bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu yang dingini. Kesudahannya, apakah nilai ‘percuma’ dalam kehidupan kita?

Kita telusuri sejarah kemerdekaan negara kita. Tidak mungkin kita mencapai kemerdekaan tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu sehingga ada yang mengorbankan harta benda malah nyawa mereka.

Maka itu adalah harga sebuah kemerdekaan yang perlu dibayar oleh pejuang-pejuang kemerdekaan untuk negara kita.

Sekiranya kita lihat pula kemajuan dan keamanan negara kita, percumakah kemajuan dan keamanan yang kita nikmati? Tidak mungkin kita capai kemajuan tanpa adanya pembangunan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara kita dengan sokongan padu rakyat.

Maka itu adalah harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan kemajuan negara. Manakala keamanan pula dibentuk oleh pemimpin dan rakyat dengan saling bertoleransi antara kaum serta dengan menghormati perlembagaan dan persefahaman yang telah dibina oleh pemimpin terdahulu negara kita.

Sering kali kita terdengar segolongan rakyat menuntut agar sesetengah perkara diberikan secara percuma serta diberikan subsidi seperti pendidikan percuma.

Timbul satu persoalan, adakah salah untuk menuntut pendidikan percuma? Semestinya tidak salah namun sedar atau tidak, dalam negara kita pendidikan daripada sekolah rendah hingga ke menengah boleh dikatakan percuma (dengan bayaran minimum hanya untuk pendaftaran), diberi buku teks percuma dan perkara-perkara lain.

Malah di universiti sekali pun pendidikan adalah percuma kerana sekiranya kita berjaya bergraduasi dengan ijazah kelas pertama maka pinjaman akan ditukarkan kepada biasiswa.

Sebenarnya tidak salah untuk menyuarakan permintaan dan tuntutan kepada kerajaan tetapi pada masa yang sama adalah perlu untuk kita menghargai perkara yang sudah kita kecapi.

Sehingga bilakah kita ingin menjadi manusia yang meminta tanpa mentransformasikan diri kepada manusia yang memberi? Mungkin kita telah terlupa bahawa sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima.

Secara konklusinya, kehidupan yang kita nikmati kini bukanlah sesuatu yang percuma. Nilai kehidupan bergantung kepada bagaimana kita membina kehidupan dan menghargainya.

Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek, maka kitalah yang perlu berusaha untuk mendapatkannya. Mana mungkin kita mendapat sagu tanpa memecahkan ruyungnya. Mari kita mulakan langkah untuk menjadi insan yang memberi tanpa hanya tahu meminta.

Oleh : Haja Mydin Abdul Kuthoos
          Universiti Sains Malaysia

1 comment: