Saturday, December 15, 2012

Indahnya Jika Negara Amalkan Politik Kasih Sayang

MEMBACA dengan teliti tulisan Jamal Rafaie Dot Com dalam ruangan forum Utusan Malaysia, baru-baru ini, "Indah hidup jika Melayu bersatu" membawa kita kepada beberapa kesimpulan menarik berhubung dengan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan seterusnya memberikan kesan besar kepada umat Islam keseluruhannya di Malaysia.

Sejarah perpecahan bangsa Melayu sudah bermula sekian lama, iaitu sebelum kedatangan penjajah tetapi bentuknya masih belum sampai ke tahap yang serius sebagaimana berlaku sekarang.

Dalam konsep sistem berkerajaan yang diwarisi daripada peradaban Hindu, meskipun berlaku perpecahan faktor setia dan taatkan kepada pemimpin akhirnya membawa kepada penyatuan semula sehinggalah muncul pelbagai watak dari dalam yang mempunyai pelbagai agenda dan kepentingan diri.

Dalam sejarah Melayu tercatat watak Si Kitul yang berpura-pura menunjukkan ketaatan kepada sistem dan dalam masa sama cuba memporak-perandakan sistem yang telah diterima sebagai punca kekuatan politik Melayu.

Sikap Si Kitul yang terpengaruh dengan janji pihak tertentu menyebabkan dia sanggup lakukan apa sahaja bagi menjatuhkan pemimpin dengan cara mengkhianati kepercayaan dari dalam dengan mengelirukan ramai orang.

Perkembangan ini semakin membuak-buak apabila kita melihat perkembangan politik semasa sehingga bahasa politik yang digunakan tidak lagi mencerminkan "bahasa jiwa bangsa", kerana dipenuhi retorik dan kata-kata kesat dan maki hamun.

Dengan mengambil sempadan politik selepas PRU ke-12 misalnya, rakyat Malaysia menemui terlalu banyak 'ayat-ayat songsang' dan 'tingkah politik keterlaluan' sehingga boleh memberikan semula keyakinan sesetengah orang bahawa politik itu benar-benar kotor.

Masyarakat Malaysia mungkin tidak akan lupa sampai bila-bila bagaimana seseorang yang dilabelkan sebagai berpendidikan agama atau dikenali sebagai ulama sanggup menjadikan politik maki hamun sebagai kaedah berkesan mengumpul pengaruh dengan mengatakan bahawa mereka sahajalah yang memperjuangkan Islam manakala orang lain membuang Islam.

Atas generalisasi itulah ulama itu kemudiannya melebarkan sayap kuasa yang kemudiannya membuat kesimpulan bahawa kerana merekalah yang memperjuangkan Islam, maka setiap orang yang menyokong perjuangan tersebut akan mendapat pahala dan pahala itulah yang membawa manusia bakal ditempatkan di syurga.

Persoalan syurga adalah ditentukan oleh Allah SWT dan bukannya ditentukan oleh manusia. Allah SWT menetapkan mereka yang bakal diberikan peluang untuk menghuni syurga ialah golongan beriman, tidak mempersekutukan Dia, sentiasa berbuat baik (bukan memaki hamun, memfitnah dan menyeru kepada perpecahan), rendah diri dan menjauh sifat sombong dalam hidup (termasuk mendabik dada kononnya diri sendirilah yang terbaik, terhandal dan paling beriman).

Baru-baru ini Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang paling selamat untuk dikunjungi dan paling aman untuk dilawati. Apakah maknanya semuanya ini jika bukan kerana perjuangan kelompok nasionalisme yang dituduh "membuang Islam" tentunya Islam tidak akan muncul dan berkembang dengan baik. Bukankah Malaysia sudah diakui sebagai sebuah negara Islam moderat yang paling pesat berkembang dan menjadi model oleh negara-negara Islam lain?

Persoalan inilah nampaknya ingin dikelirukan oleh kelompok yang berjuang atas nama agama dengan mengetepikan keindahan hidup sebagai rakyat Malaysia yang bertunjang budaya Melayu. Orang Melayu juga adalah kumpulan bangsa yang unik, kerana mentakrifkan Melayu itu mestilah diikatkan dengan Islam. Inilah keunikannya apabila secara lahiriah mereka yang 'masuk Melayu' itu bukan berasal dari nilai Melayu, tetapi kerana orang itu telah memeluk Islam, hidup bersama dan mengamalkan budaya Melayu, maka dengan mudahnya orang itu dikatakan sebagai Melayu.

Tetapi, jika seseorang itu tidak beragama Islam walaupun rupanya mirip Melayu dan hidup bersama orang Melayu, ia tidak diterima sebagai orang Melayu. Maknanya, Islam di Malaysia menjadi subur dan kuat kerana ia dikaitkan dengan orang Melayu. Oleh itu, apabila ada gesaan untuk membenarkan orang Melayu menjadi murtad, orang Melayu juga akan menentangnya kerana ia dilihat bertentangan dengan kehendak agama.

Secara jelasnya, keindahan budaya Melayu adalah kerana meletakkan kasih sayang sebagai air sungai yang mengalir dan membajai seluruh kehidupan. Ini sesuai dengan kehendak Islam kerana itulah Islam dikenali sebagai agama yang menyemai sifat kasih sayang sesama manusia sehingga menjadikan setiap orang adalah bersaudara.

Konteks inilah seharusnya diterjemahkan dalam politik kasih sayang, dan bukannya melihat, mereka yang berjuang atas prinsip nasionalisme sebagai kafir, taghut, 'membuang Islam' dan pelbagai kecaman yang boleh meruntuhkan bangsa dan agama.

Pola politik sedemikian semakin berkembang kerana golongan yang mendakwa dirinya sebagai ulama semakin menumpulkan ketajaman inteleknya dengan penterjemahan politik sempit dan kongkongan ideologi.

Tuduhan bahawa kelompok nasionalisme itu telah 'membuang Islam' sebenarnya keterlaluan kerana penuduh itu sendiri yang melakukan penafian untuk melihat politik budiman dan kasih sayang. Mereka itulah sebenarnya mencetuskan pola-pola perpecahan sehingga lahir kelompok eksklusif dalam kalangan mereka dan tidak boleh bercampur gaul, kerana baunya boleh menyebabkan terkeluarnya iman seseorang.

Tidak ada sesuatu pun yang perlu dimonopoli, kerana kasih sayang adalah nilai universal yang bertunjangkan asas kemanusiaan dan saling percaya dengan sempadan agama dan keteladanan diri.

Itulah sebabnya peribadi Nabi Muhammad SAW menjadi contoh penerapan kasih sayang yang terbesar dalam sejarah manusia, kerana baginda tidak pernah berdendam dengan sesiapa pun tidak seperti kelompok Islamisme yang sedang giat menimbulkan kekeliruan demi meraih sokongan dan pengaruh.

Kemenangan dan kekalahan itu adalah anugerah, maka jika kalah dalam perjuangan ia adalah satu petunjuk bahawa ia belum cukup kuat dan bukannya kerana ada pihak lain yang melakukan kekasaran. Kalau menang, bukan pula bermakna 'menang dapat semua, yang kalah hilang segalanya'.

Natijah itulah sebenarnya yang hendak dirungkaikan oleh Jamal Rafaie Dot Com menerusi tulisannya yang sepatutnya dijadikan bahan perbincangan bagi menjernihkan situasi politik di Malaysia yang diserabutkan dengan politik balas dendam dan matlamat menghalalkan cara.

Oleh : Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

No comments:

Post a Comment