Monday, December 17, 2012

Hadi Awang Didesak Tarik Balik Amanat.

Puluhan ribu ahli dan pengikut tegar Pas dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.

Perkara itu didedahkan sendiri aktivis yang juga bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani (gambar) berikutan masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam.

Sehubungan itu, Zainon mendesak Abdul Hadi yang kini memegang tampuk kepemimpinan Pas menarik balik amanat berkenaan demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi beliau tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.

Katanya, dalam soal tersebut Abdul Hadi perlu meletakkan kepentingan akidah jauh lebih penting daripada pertimbangan politik kerana jika tidak,puluhan ribu pengikut Pas terus bergelumang dengan dosa akibat mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan politik.

“Keimpinan Pas tidak boleh berdiam diri dalam hal ini seolah-olah Abdul Hadi tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mengeluarkan amanat kerana kesannya kepada masyarakat terlalu besar. Soal kafir-mengkafir ini isu akidah jauh melebihi kepentingan politik”.

“Saya salah seorang ahli Pas yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu. Saya memohon kepada Allah agar diampunkan dosa sebelum ajal menjelma.

“Tapi sebagai individu bertanggungjawab apatah ketika berkuasa, Abdul Hadi perlu membetulkan semula akidah pengikut Pas kerana masih terdapat puluhan ribu ahli parti yang taksub dan menganggap UMNO kafir,” katanya kepada Utusan Malaysia, disini hari ini.

Menurut Zainon, walaupun sudah 31 tahun berlalu, tetapi amanat Abdul Hadi membarah sehingga ke hari ini di dalam jiwa dan pemikiran pengikut tegar Pas menyebabkan mereka menolak mentah-mentah apa saja termasuk kebaikan yang cuba dibawa kerajaan.

Dalam ada itu, Zainon berkata, beliau sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai ‘serangan’ termasuk ‘tuduhan wajib’ seperti dibeli oleh UMNO kerana bertindak mendesak Abdul Hadi menarik balik amanat beliau yang membawa perpecahan.

“Saya buat semua ini atas sifat keinsafan diri demi untuk melihat akidah orang Islam khususnya pengikut tegar Pas yang bertindak mengkafirkan saudara seagama dapat diperbetulkan semula dan bagi tujuan itu, saya sedia bersemuka dengan mana-mana pemimpin Pas,” katanya

Sumber : Politik@utusan

No comments:

Post a Comment