Tuesday, November 6, 2012

Benarkah Penguat Kuasa Lemah?

INGIN saya mengambil perhatian agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan, polis dan sebagainya yang diamanahkan untuk menguat kuasa undang-undang.

Apa yang saya lihat, tahap penguatkuasaan di Malaysia amat lemah. Jika dibandingkan dengan jiran di Singapura ia seperti langit dan bumi. Banyak keluhan, pandangan dan teguran telah diberikan tetapi tiada peningkatan.

Contoh-contoh di bawah adalah sebahagian daripada keadaan yang wujud dan seolah-olah telah menjadi landskap Malaysia ketika ini:

(a) Kebanjiran pendatang asing seolah-olah tidak dapat dibendung lagi hingga menimbulkan keresahan warga negara Malaysia.

(b) Penunggang motosikal tidak memakai topi keledar dan melanggar lampu isyarat sudah menjadi lumrah.

(c) Apa sudah jadi dengan demonstrasi yang merosakkan harta awam pembayar cukai semasa Bersih 3.0. termasuk insiden menunjuk punggung dan mengibarkan bendera Sang Saka? Ambil keterangan sahaja ke?

(d) Apa sudah jadi kepada blogger dan orang yang menghina Islam. Cukupkah dengan permintaan maaf yang nampak tidak ikhlas sahaja?

(e) Membuang sampah merata-rata sudah menjadi pemandangan biasa kerana tak pernah dengar orang kena sama atau denda kerana buang sampah.

(f) Bangunan kerajaan termasuk di Putrajaya yang menggunakan bahasa Inggeris. Betapa rendahnya martabat Bahasa Melayu. Tidak hairanlah jika pengiklan-pengiklan berleluasa menggunakan bahasa lain di papan iklan, poster termasuk mengiklankan jualan rumah (cuba lihat di Wangsa Maju sebagai contoh) termasuk GLC. Siapa salah? Tidak usahlah kerajaan membazir dan melaung-laung kempen seperti Bulan Bahasa Kebangsaan.

(g) Iklan-iklan haram berleluasa di tempat-tempat awam termasuk iklan lucah seperti adult toy dan ubat kuat lelaki, ah long dan sebagainya amat berleluasa. Tindakan PBT hanya bermusim dan kenapa mereka tidak boleh didakwa sedangkan nombor telefon mereka terpampang di dalam iklan mereka?

(h) Pemandu kereta menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya terutamanya musim perayaan. Sepatutnya JPJ atau Polis mengambil tindakan terutama di lebuh raya utama.

(i) Kenapa tanah simpanan di Cameron Highlands diterokai secara haram tanpa pengetahuan pejabat daerah? Alasan tidak cukup kakitangan adalah alasan dangkal oleh seorang Pegawai Daerah. Kenapa baru hendak buat 'house clean up' hanya selepas didedahkan oleh media?

(j) Keengganan pemandu teksi menggunakan meter dan memeras penumpang hinggakan perkhidmatan teksi di Malaysia adalah tercorot dan paling hina di dunia.

Contoh di atas merupakan sekelumit sahaja. Ini belum lagi meliputi kes-kes melibatkan perundangan rumit seperti penipuan perniagaan pelaburan emas, penerimaan dana haram asing dan sebagainya.

Apa pun saya beranggapan kita tidak boleh menyalahkan pihak kakitangan bawahan penguat kuasa 100 peratus kerana pihak pengurusan atasan juga harus bertanggung jawab.

Ini termasuk bantahan pelik daripada penggubal undang undang sendiri (Ahli Parlimen) meminta penangguhan terhadap sistem AES yang bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang jalan raya (Ordinan Lalulintas) sedangkan sistem telah beroperasi dan jutaan ringgit telah dilaburkan.

Di manakah integriti mereka sebagai penggubal undang-undang?.

Kerenah birokrasi ini semakin rumit apabila hukuman mandatori gantung sampai mati hendak dihapuskan kononnya untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia yang dihukum di luar negara kerana terlibat dalam pengedaran dadah.

Berapa peratusankah bilangan mereka yang terlibat jika dibandingkan dengan jumlah rampasan dadah dan penagih dadah akibat senangnya bekalan di negara ini?

Angkanya amat menakutkan. Ini belum lagi termasuk yang terlepas ke dalam negara. Tolonglah berikan tenaga dan fokus anda terhadap penguatkuasaan kepada perkara-perkara asas (fundamental) dahulu sebelum memikirkan penguatkuasaan undang undang yang lebih berat dan rumit.

Rumusan saya jika pihak penguatkuasa dan pihak berwajib tidak mempunyai keupayaan, minat atau cara yang berkesan 'swastakan' sahaja tugas penguatkuasaan ini.

Oleh : Pak Tua

No comments:

Post a Comment