Saturday, October 27, 2012

Tun M Gesa Ubah Segera Dasar GLC

Kerajaan sekarang berhak lakukan kelainan: Tun M

Kuala Lumpur: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersasar daripada matlamat asal penubuhan untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengubah segera dasar mengenai GLC kerana peranannya kini bertukar arah hingga menyebabkan prestasi pemilikan kekayaan Melayu makin merosot, sekali gus gagal mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Beliau berkata, walaupun dasar itu dibuat pemerintah terdahulu, namun ia tidak bermakna pemerintah sekarang tidak boleh mengubahnya.

Keupayaan Bumiputera
“Kerajaan mewujudkan GLC seperti Khazanah Nasional Bhd kerana keupayaan Bumiputera, terutama orang Melayu lemah dari segi ekonomi dan pemilikan ekuiti.

“Kalau diberi pada mereka (Bumiputera) saham, mereka jual. Jadi dengan itu, kita tubuh badan yang dikuasai kerajaan supaya GLC pegang saham, sementara kita memperkayakan Bumiputera, kemudian kita edar pada mereka.

“Tapi sekarang dasar sudah bertukar, mereka (GLC) jadi peniaga utama dan tidak edarkan kepada Bumiputera, beri kepada orang asing, ini bertentangan dengan dasar.

“Kita khuatir kalau tidak bertindak, tukar dasar dan kembali kepada asal, maka bahagian Melayu akan semakin berkurangan,” katanya selepas merasmikan penutupan Kongres Ekonomi Melayu 2012, di sini, semalam.

Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Datuk Syed Ali Alatas. Dr Mahathir turut melancarkan Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Bhd (TUPBB) yang ditubuhkan sebagai skim pelaburan kolektif menerusi dana bernilai RM1 bilion.

Lebih 500 peserta daripada hampir 100 pertubuhan Bumiputera menyertai kongres dua hari yang meluluskan 18 resolusi membabitkan pelbagai aspek termasuk hala tuju jihad ekonomi Melayu dan DEB.

Mengulas tuntutan DEB dianggap rasis oleh segelintir pihak, Dr Mahathir menegaskan kekayaan negara perlu diagihkan secara adil bagi mengelak konflik pada masa depan.

“(Kita) tak rampas hak orang lain, kita nak bahagian kita saja. Kita penduduk majoriti 60 peratus, tapi hanya minta 30 peratus. Ambillah yang lain bagi mereka.

“Perlu ada kajian supaya kita tahu kekayaan negara diagihkan secara adil. Ini bukan rasis, kalau tidak diagihkan secara adil akan timbul konflik, keganasan seperti di negara lain,” katanya.

Lihat juga disini

No comments:

Post a Comment