Wednesday, October 24, 2012

Memperingati Peristiwa Berdarah Tak Bai

25 Oktober 2012, genaplah lapan tahun peristiwa pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Tabal (Tak Bai) oleh tentera penjajah Thailand.Peristiwa berdarah Tak Bai yang berlaku pada 25 Oktober 2004 merupakan peristiwa di mana 78 orang penduduk Islam Pattani syahid akibat kerakusan tentera penjajah Thailand pada bulan Ramadhan yang mulia.

Bagaimanapun kerajaan penjajah Thailand kemudiannya memutuskan bahawa sesiapa pun tidak bersalah dalam kejadian tersebut.

Peristiwa menyayat hati ini telah didahului enam bulan sebelumnya dengan satu peristiwa sedih iaitu pembunuhan kejam beramai-ramai di Masjid Kerisek. Kedua-kedua peristiwa ini ada persamaannya , iaitu tentera Thai bertindak dengan niat untuk membunuh semua ummat Islam Melayu yang hadir di lokasi peristiwa tersebut. Strategi yang terancang ini adalah sebahagian dari kempen "Pembersihan Etnik" penjajahan Thailand terhadap ummat Melayu Islam Pattani.

Peristiwa kekejaman Kerajaan Penjajah Thailand terhadap ummat Islam Pattani ini adalah setara dengan tindakan zalim Serbia terhadap bangsa Bosnia dan Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin. Penindasan dan kekejaman ini bukan sahaja berlaku di Kerisek dan Tak Bai bahkan berlaku setiap hari tetapi Akhbar-akhbar di Thailand dan Malaysia dilarang membuat liputan luas mengenainya. Hanya berita-berita kematian orang Siam sahaja yang menjadi fokus supaya masyarakat dunia menghukum Islam yang bertanggungjawab. Bermula dari peristiwa-peristiwa sedih inilah tercetus kembali kebangkitan ummat Islam Pattani secara besar-besaran.

Peristiwa ini jugalah yang mencetuskan sumpah perjuangan oleh mujahidin-mujahidin yang berjuang. Mereka berikrar akan meneruskan perjuangan sehingga bumi Pattani dibebas kan sepenuhnya dari sebarang bentuk penjajahan. Peristiwa yang menyedihkan ini bukan sahaja diratapi oleh umat Islam Pattani bahkan oleh sesiapa sahaja yang mengaku Melayu dan ummat Islam di dunia ini. Peristiwa hitam 25 Oktober ini perlu diingati oleh seluruh ummat Islam kerana perjuangan pembebasan Pattani adalah perjuangan ummat Islam seluruhnya. Isu Pattani mesti menjadi isu yang wajib diperjuangkan oleh ummat Islam.

Walau pun mereka cuba menyembunyikan angka sebenar mangsa pembunuhan di Tak Bai tetapi amat diyakini bahawa jumlah mangsa kematian melebihi dari angka yang dilaporkan. Antaranya mangsa yang mati ketika cuba melarikan diri dalam sungai. Mereka ditembak seperti ikan. Begitu juga liang besar pembunuhan beramai-ramai turut dijumpai di Telubok Pattani, di tanah perkuburan cina di Jala (Yala) dan juga perkuburan Cina di Naratiwat. Jumlah kematian di ketiga-tiga kubur ini dijangka melebihi 500 orang .

Peristiwa ini bukanlah satu peristiwa yang luar biasa di bumi Pattani. Bahkan ianya adalah intisari daripada tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh penjajah Thai sejak dari 1786 lagi. Mereka membunuh ummat Islam Pattani seperti binatang buruan dan mereka sesekali tidak pernah menganggap ummat Melayu Islam Pattani sebagai manusia.

Pattani adalah sebahagian daripada ‘Tanah Melayu’. Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi mangsa dasar imperialisasi kerajaan Siam yang disokong secara sulit oleh kuasa barat. Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Pattani telah diiktiraf oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Pattani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban membawa kepada penghapusan sistem pemerintahan kesultanan Melayu Pattani. Melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Pattani telah diisytiharkan oleh British sebagai jajahan Siam tanpa kerelaan ummat Islam Melayu Pattani.

Semenjak penggulingan Kesultanan Islam Melayu Pattani, ummat Islam Melayu Pattani berada dalam keadaan tertekan dan dhaif. Ummat Islam Melayu menjadi mangsa pemerintahan siam yang zalim . Justeru, tidaklah hairan seringkali berlaku kebangkitan di Pattani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas Raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang dari Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti Siam menjadi lebih hebat apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mensiamkan ummat Islam Pattani melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua bersekutu dengan Jepun telah memberikan peluang baru kepada ummat Islam Melayu Pattani untuk membebaskan Pattani daripada penjajahan Siam. Oleh itu Tengku Mahmood Mahyideen, Putera Raja bekas Raja Pattani, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Pattani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Perancangan Tengku Mahmud itu berbetulan dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti. Peluang itu semakin cerah apabila Kuasa-Kuasa Berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima pakai prinsip hak menentu nasib sendiri sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan. Lantaran itu, tanggal 1 November 1945, sekumpulan pemimpin ummat Islam Melayu Pattani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Pattani dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu.

Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan penjajahan British di wilayah Asia Tenggara menjadi faktor utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Pattani. Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan beras untuk keperluan jajahannya. British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Tindakan penjajahan ini juga selaras dan bertepatan dengan perancangan Zionis Yahudi . Pattani menerima nasib yang sama dengan Palestin dari segi perancangan licik penjajah kuffar. Kemaraan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor penting kepada British dalam menentukan polisi dan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis dari China. Justeru, Kerajaan British ingin memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan blok Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi menghadapi kemaraan Komunis di perbatasan Tanah Melayu. Justeru, Pattani adalah taruhannya.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk melaksanakan pembaikan sistem pentadbiran dan sosio ekonomi di Pattani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh ummat Islam Pattani. Sejak , isu pembebasan Pattani mula pudar malah jika dibangkitkan ia kononnya disifatkan bakal menjejaskan hubungan dengan Siam. Seusai Persidangan Senggora pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula bertindak terhadap pemimpin-pemimpin pejuang pembebasan Pattani. Tengku Mahmood Mahyideen ditekan hebat manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Pattani semakin lemah dengan pembunuhan Tengku Mahmood Mahyideen dan Syahidnya Haji Sulung pada tahun 1954.

Sebelum Perang Dunia Kedua ummat Islam Melayu di Pattani melebihi 90 %, tetapi nisbah ini semakin berkurangan dengan pemindahan penduduk dari utara Thai dan pembunuhan beramai-ramai yang sering dilakukan oleh kerajaan Thailand di wilayah Pattani. Kerajaan Thailand juga memperalatkan pihak berkepentingan demi melagakan sesama ummat Islam Pattani. Mereka telah menggunakan berbagai helah bagi melemahkan ummat Islam Pattani. Antaranya mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan ini tidak syarie kerana Pattani ini asalnya adalah hak milik kerajaan Thailand.

Walau bagaimana pun perjuangan ummat Islam Pattani sudah sampai kepada apa yang disebut oleh Al Quran sebagai "Hari bertemunya dua ketumbukan", iaitu perjuangan pada hari ini hanya berlaku antara dua pihak, iaitu ummat Islam dan kaum Kafir yang zalim. Sesiapa yang memilih bersubahat dengan penjajah Thailand maka merekalah yang mengkhianati ummat Islam dan cenderung kepada kerajaan Thailand yang Zalim . Justeru, mereka yang bersekongkol dengan penjajah Thailand diberi amaran supaya kembali ke paksi perjuangan yang sebenar. Jangan sesekali menista para pejuang dengan tuduhan tidak berperi kemanusiaan kapada bangsa sendiri.

Perjuangan kemerdekaan Pattani bangkit di atas percikan darah para syuhada. Ummat Islam lebih rela mati berjuang dari hidup sesaat lagi di atas bumi Pattani yang di jajah. Kami memohon kapada Allah swt. Terimalah pengorbanan untuk mendaulatkan kalimatmu di bumi ini.

Ya Allah seandainya Dikau matikan kami semuanya maka tiadalah lagi hamba-hamba yang ikhlas menyembahmu di bumi Pattani.

Sumber Asal : Akhukum Pejuang Kecil

No comments:

Post a Comment