Sunday, October 7, 2012

Protes Anti-AS Di Pakistan Tambah Rezeki Pembuat Bendera


ISLAMABAD - Susulan tunjuk perasaan membantah filem Innocence of Muslims sejak awal bulan lalu, pembuat-pembuat bendera di Pakistan senyum lebar kerana tempahan menjahit bendera Amerika Syarikat (AS), yang digunakan untuk dipijak dan dibakar, meningkat berkali ganda.
"Setiap kali tunjuk perasaan akan berlaku, saya mampu untung10 kali ganda berbanding hari biasa," kata Naveed Haider kepada AFP ketika ditemui di kedainya di Rawalpindi.
Semenjak tunjuk perasaan di jalanan meletus, Naveed tidak pernah aman, bukan kerana bunyi bising atau tembakan, tetapi dia tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan bendera yang sangat banyak.

Bendera AS dijual antara AS$1.25 (RM3) dan AS$16 (RM48), bergantung kepada saiz dan kualiti pembakaran bendera itu yang dikehendaki oleh pelanggannya.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa, permintaan tinggi terhadap bendera ini sebenarnya mempunyai kaitan perasaan rakyat Pakistan yang anti-Amerika berhubung keganasan Taliban dan serangan AS meletus selepas Washington isytihar perang ke atas pengganas bermula pada penghujung 2001.

Di India, bendera asal AS, Old Glory turut dibakar dan dianggap sebagai musuh nombor satu negara itu.
Dengan hanya Rp$1,500 (RM49), sehelai bendera berukuran tiga suku meter boleh didapati dengan jaminan ia mudah dibakar - perkara yang menjadi keutamaan penunjuk perasaan terutamanya ketika mereka mahu jurukamera stesen televisyen merakam aksi mereka.
"Ia memberikan saya kepuasan maksimum, bukan kerana perbuatan jenayahnya tetapi perasaan itu sukar digambarkan," kata seorang pelayan, Assim, 22.
Sebelum itu, tunjuk perasaan memprotes filem yang membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia itu telah membunuh 50 orang sejalk 11 September lalu.
Di Pakistan sahaja, tunjuk perasaan itu telah merebak ke seluruh negara membabitkan 45,000 orang dengan 21 terbunuh manakala 229 lagi cedera ketika bertempur dengan polis.
Sementara itu, parti Shiite Islam, Majlis-e-Wahadatul dilaporkan membekalkan bendera-bendera itu kepada kumpulan mahasiswa untuk digunakan pada tunjuk perasaan itu.
"Kami mampu mengedarkan 500 bendera dalam masa sejam," ujar Mazhar Shigri, jurucakap kumpulan itu ketika ditemui di Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan.
Kumpulan itu turut dilaporkan sedang mempersiapkan diri untuk tunjuk perasaan dalam masa terdekat dengan menghasilkan bendera AS berukuran 500 meter panjang dan 60 meter lebar.
“Ini supaya pemandu kenderaan dan pejalan kaki juga dapat melihat bendera ini,” jelas Shigri lagi.


No comments:

Post a Comment