Monday, December 12, 2011

Desak Bina Jambatan Bengkok

Adakan rundingan dengan Singapura, pertimbang semula dengan serius
SHAH ALAM 10 Dis. – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Kerajaan Pusat secara serius mempertimbangkan semula cadangan untuk membina jambatan bengkok di Johor Bahru.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat turut menggesa Kerajaan Pusat mengadakan rundingan dengan Singapura, sekiranya perlu, untuk menggantikan keseluruhan Tambak Johor dengan jambatan baru.

‘‘Sebagai rakyat Johor, saya menganggap jambatan ini cukup penting kerana kewujudan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor akan lebih bermakna sekiranya jambatan baru dibina menggantikan tambak johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Peperiksaan Berita Harian di Management and Science University (MSU), di sini hari ini.

Mohd. Puad berkata, jambatan bengkok tersebut akan menjadikan Johor Bahru sebuah bandar raya yang berdaya saing dengan negara jiran, Singapura.

Dalam hal ini, beliau berkata, kerajaan Malaysia sudah menunjukkan semangat setiakawan apabila bersetuju melepaskan Tanjong Pagar kepada Singapura dan membangunkan bersama tanah tersebut.

‘‘Sepatutnya kerajaan Singapura juga mestilah mempunyai semangat setiakawan. Kalau boleh gantikan seluruh tambak Johor, lagi bagus, tetapi kalau sekiranya Singapura masih berdegil, saya mendesak kerajaan Pusat membina jambatan bengkok,” katanya.

Beliau menjelaskan, pembinaan sebuah jambatan sama ada bengkok atau jambatan baru keseluruhannya akan memberikan kebaikan kepada pantai Lido yang menjadi kotor kerana air tersekat disebabkan Tambak Johor.

Katanya, jambatan bengkok itu juga memudahkan kapal peronda lalu untuk menjaga keselamatan perairan.

utusan malaysia

No comments:

Post a Comment