Thursday, November 10, 2011

Hudud: Sandiwara Pakatan Rakyat Berterusan….

Semalam ketika berdialog dengan lebih 200 pemimpin masyarakat Cina di Subang Jaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti yang dijangka, sekali lagi memberi jaminan hudud bukan sebahagian daripada konsensus atau dasar Pakatan Rakyat.

Jawapan itu adalah lebih kurang sama dengan apa yang dinyatakan Anwar bulan lalu selepas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kerajaan negeri Kelantan tetap bertekad melaksanakan hudud kerana ia dituntut oleh Islam.

Malah kerajaan negeri pimpinan Nik Aziz kini menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti sama ada hudud boleh dilaksanakan tanpa meminda perlembagaan negara sekaligus mencemaskan DAP, parti komponennya dalam Pakatan Rakyat.

Pada bulan lalu juga, Anwar memberitahu pemberita bahawa beliau secara peribadi, menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Semalam, di depan pemimpin Cina pada majlis dialog di Subang Jaya itu, Anwar memilih untuk berdiam diri, dengan alasan media arus perdana akan memutarbelitkan jawapannya.

"Apabila orang bertanya pendirian peribadi saya sebagai seorang Muslim, ini adalah satu soalan 'tricky'. Jika anda menjawab 'tidak', maka anda mati. Tetapi jika anda menjawab 'ya', maka tajuk berita New Straits Times esok akan menjadi 'Anwar sokong undang-undang hudud," beliau dipetik berkata oleh Malaysiakini.

Apapun, jelas persoalan hudud tetap menjadi isu yang amat meresahkan masyarakat Cina dan penjelasan Anwar semalam tidak meredakan keresahan itu.

Malah jawapan Anwar yang berdolak dalih, bergantung kepada kaum mana yang berdialog dengan beliau, hanya mengusutkan keadaan dan menimbulkan lebih banyak tanda tanya mengenai konsep permuafakatan Pakatan Rakyat.

Gugurkan agenda
Tidak keterlaluan merumuskan bahawa wujud segmen pengundi bukan Melayu yang tidak keberatan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dengan syarat gabungan pembangkang itu, khususnya Anwar, lebih tulus dan ikhlas bersabit isu hudud.

Jika mengikut Anwar, pelaksanaan hudud bukan dalam persetujuan bersama PAS, PKR dan DAP, maka kenapa PAS enggan bersetuju untuk menggugurkan agenda hududnya sekalipun Pakatan menawan Putrajaya?

Jika PAS menghormati apa yang dipersetujui dalam dasar Pakatan itu, seperti yang diuar-uarkan oleh DAP dan Anwar, kenapa parti itu begitu agresif dalam pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, sehingga mencari ruang untuk melaksanakannya tanpa pindaan perlembagaan?

Fakta ini juga perlu diambil kira - walaupun Anwar menyatakan sokongan peribadi kepada hukum hudud apabila berdepan dengan masyarakat Islam, beliau tidak menyatakan secara rasmi sama ada PKR menolak atau menerima cadangan PAS.

Buat masa ini, PKR rasa selamat dengan berselindung di sebalik alasan hudud tiada dalam Buku Jingga atas dasar bersama Pakatan.

Persoalan yang berlegar di minda pengundi bukan Islam ialah, apa akan berlaku jika PAS menubuhkan kerajaan di beberapa negeri selepas PRU ke -13 dan mahu menegakkan undang-undang Islam?

Jadi minoriti
Apakah yang akan dilakukan oleh DAP dan PKR ketika itu, khususnya jika mereka menjadi minoriti dalam jumlah kerusi yang dimenangi?

Segala persoalan ini akan terungkai dengan mudah jika PAS dan PKR memberi penjelasan yang tuntas dan jelas serta meyakinkan mengenai pelaksanaan hukum hudud sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri.

Hanya DAP yang bingkas menyatakan pendiriannya secara jelas - bahawa ia menentang hukum hudud dalam apa bentuk sekali pun.

Namun suara tunggal itu tidak bermakna jika ia tidak didokong atau disahut oleh PAS dan PKR.

Sebaliknya perbedaan pendapat yang disalut dengan agenda politik kepartian masing-masing hanya menyerlahkan Pakatan sebagai satu permuafakatan yang rapuh dan bersifat sementara.

Seolah-olah ia hanya sebuah kerjasama politik untuk memenangi pilihanraya tetapi bukan sebuah wadah yang mempunyai hala tuju jelas bersabit isu-isu kepentingan bersama rakyat.

Apabila pilihan raya umum makin hampir, Anwar sudah tentu akan meningkatkan siri ceramah di kalangan bukan Islam dan Islam. Biarlah mesej yang dibawa oleh beliau khususnya bersabit hukum hudud adalah sama dan senada tanpa mengira latar belakang hadirin.

Hanya sifat ikhlas sebegitu akan menyumbang kepada kredibiliti Pakatan di mata pengundi.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment