Friday, December 31, 2010

Memori 2010 - Raja Melayu Bersuara

Perdebatan mengenai isu agama Islam dan hak keistimewaan Melayu mewarnai rencah politik semasa di Malaysia.

Hal itu menyebabkan ramai Raja-Raja Melayu bangkit bersuara mempertahankan hak dan kedaulatan Melayu agar tidak terpinggir di bumi sendiri.


Antara yang mendatangkan kemurkaan Raja-Raja Melayu adalah politik di masjid, penggunaan ayat al-Quran oleh bukan Islam dan ketuanan Melayu yang mahu dihapuskan segelintir pihak.

4 Jan. - Datuk Abu Kassim Mohamed mengangkat sumpah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

6 Jan. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap isu penggunaan perkataan Allah.

3 Feb. - Anggota dan pegawai polis menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis antara RM1,500 hingga RM6,000.

6 Feb. - Kerajaan umum cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru.

22 Feb. - Soh Cher Wei, tunang Teoh Beng Hock yang dijumpai mati selepas disoal siasat SPRM di Shah Alam tahun lalu melahirkan bayi lelaki.

27 Feb. - Demi menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara, 76 pertubuhan bukan kerajaan Melayu peringkat negeri dan kebangsaan bergabung di bawah satu payung yang dinamakan sebagai Majlis Perundingan Melayu (MPM).

13 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra bersama rakan Facebook.

27 Mac - Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pertama dihadiri 10,000 ahli.

28 Mac - Kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM72 bilion setahun.

4 April - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan menghapuskan polisi afirmatif.

6 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan konsep 1Malaysia ialah idea asal dan bukan ditiru dari Israel atau dari mana-mana negara di dunia.

8 April - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melancarkan Kempen Kami Prihatin bagi menangani gejala dera kanak-kanak dan buang bayi.

12 April - Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebelum Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington.

20 April - Mohd. Noor Mat Amin mencipta rekod baru apabila berjaya menyempurnakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari.

27 April - KTM Komuter memperkenalkan koc wanita.

11 Mei - Tan Sri Zainuddin Maidin menerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang.

18 Mei - Majikan diwajibkan memberi cuti rehat sehari seminggu kepada pembantu rumah warga Indonesia selain membenarkan mereka memegang pasport.

24 Mei - Malaysia dan Singapura bersetuju menyelesaikan beberapa masalah 'legasi', terutama yang terkandung dalam dokumen Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA).

24 Mei - Malaysia dan Singapura bersetuju Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd. di Tanjong Pagar, akan berpindah ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands pada 1 Julai 2011.

7 Jun - Ahli Parlimen BN, pembangkang dan Bebas sepakat mendukung 15 usul yang dibentangkan Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk gesaan merujuk kekejaman Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

11 Jun - Datuk Chua Jui Meng, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia, Shaftdean Lufty Rusland ditarik balik pingat Datuk Sri Paduka Mahkota Johor dan Darjah Paduka Mahkota Johor.

11 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

21 Jun - Tembok penjara pudu yang berusia 100 tahun dirobohkan.

24 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar dengan peruntukan RM100 juta.

25 Jun - Kerajaan membuat keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan.

15 Julai - Langkah pertama program rasionalisasi subsidi berperingkat mula dilaksanakan.

15 Julai - Satu juta komputer riba 1Malaysia akan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

26 Julai - Senarai penyakit kritikal Skim Pengeluaran Kesihatan KWSP ditingkatkan kepada 39 jenis penyakit.

1 Ogos - Pemilik kenderaan asing hanya dibenarkan membeli petrol RON 97.

2 Ogos - Dua hakim syarie wanita pertama, Suraya Ramli, 31, dan Rafidah Abdul Razak, 39, memulakan tugas secara rasmi masing-masing di Mahkamah Syariah Putrajaya dan Kuala Lumpur.

4 Ogos - Pakar ekonomi antarabangsa Tan Sri Just Faaland yang terbabit menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) diumumkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Merdeka 2010.

11 Ogos - Kabinet menarik balik langkah menyenaraihitamkan kenderaan buat sementara waktu sehingga 28 Februari.

12 Ogos - KTMB melancarkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terpantas dengan kelajuan 160 kmj.

15 Ogos - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan kewujudan 'perlembagaan baru'.

16 Ogos - Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menghantar nota bantahan kepada Kementerian Luar dan Polis republik itu kerana gagal mengawal keselamatan harta di kawasan kedutaan ekoran tunjuk perasaan rakyatnya.

17 Ogos - Hampir 70 peratus daripada pemeriksaan Jakim ke atas hotel dan premis makanan di sekitar Lembah Klang yang berselindung di sebalik terma bufet Ramadan diragui status halalnya.

27 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan 'tazkirah' di surau.

31 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya diadakan di ruang tertutup Stadium Putra.

31 Ogos - Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) yang disertai empat penunggang motosikal berkuasa besar termasuk Wartawan Utusan Malaysia, Saiful Haizan Hasam berjaya melengkapkan perjalanan sejauh 20,941 km merentasi 18 negara sebaik tiba di London.

5 Sept. - TV3 memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.

13 Sept. - Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru di Istana Balai Besar bagi menggantikan ayahanda baginda yang sedang gering sejak lebih dari setahun.

17 Sept. - Sekolah Harapan di Melaka khusus untuk remaja hamil dibuka.

30 Sept. - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan gelaran Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) daripada adinda baginda, Tengku Muhammad Fakhry Petra, ditarik balik.

2 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne bagi rawatan jangkitan kuman di dada.

10 Okt. - Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr. Halina Mohd. Yunos selamat diijabkabulkan.

12 Okt. - Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama bermula dengan ucaptama Datin Seri Rosmah Mansor.

20 Okt. - Melaka diisytihar negeri maju.

21 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan hak istimewa Melayu tidak boleh digugat kerana dilindungi sepenuhnya di bawah peruntukan yang 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan.

12 Nov. - Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat berangkat ke majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor kerana murka dengan perbelanjaan tinggi untuk sambutan itu.

27 Nov. - Kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas Namewee kerana dia tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan melanggar undang-undang.

27 Nov. - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) menarik kunjungan 2.66 juta pelawat.

16 Dis. - Kegiatan ajaran Syiah tegar dikesan bergerak aktif berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya di Gombak.

31 Dis. - Diisytiharkan sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala Suzuki AFF.

utusan malaysia

No comments:

Post a Comment