Sunday, November 28, 2021

Vernakular: Tidak Fasih Bahasa Melayu, Bukan Masalah Sekolah, Tetapi Kualiti Pelajar

PULAU PINANG, 28 November 2021 – “Ia bukan tentang sifat sekolah itu sendiri tetapi tentang kualiti pelajar.”

“Pendidikan yang baik dan bermutu menjadi punca ibu bapa Melayu lebih minat memilih sekolah Cina berbanding sekolah kebangsaan,” kata Profesor Dr Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

Ini antara hujah-hujah yang dinyatakan mengapa beliau menentang sekeras-kerasnya langkah semakan kehakiman terhadap sekolah vernakular.

Ujarnya lagi, soal penguasaan bahasa itu bukanlah satu isu.

Ini terbukti berdasarkan “daya saing atau kefasihan berbahasa Melayu pelajar-pelajar sekolah vernakular adalah di tahap yang sama dengan para pelajar yang bersekolah di sekolah kebangsaan”.

Malah, kemasukan pelajar-pelajar Melayu ke sekolah vernakular juga meningkat sejak kebelakangan ini di mana lebih dari dua puluh peratus kemasukan ke sekolah Cina datang daripada komuniti Melayu.

Ahli DAP itu selanjutnya menegaskan, perkauman bukanlah hasil produk sekolah-sekolah vernakular.

Ini merupakan sebab kesepuluh mengapa beliau mempertahankan sistem pendidikan sekolah vernakular.

“Isu perkauman tidak berpunca daripada sekolah vernakular tetapi sifat sistem politik yang nekad mengamalkan nasionalisme majoriti dan ekstremisme agama.”

Dan yang paling utama adalah, sekolah vernakular telah wujud sejak sekian lama.

“Ia hanya diformalkan dan disepadukan dalam sistem pendidikan negara selepas merdeka.”

“Sekolah vernakular tidak harus dimansuhkan hanya kerana sesetengah segmen mahu ia dimansuhkan, walau apa pun alasannya,” kata P Ramasamy lagi. - www.samudera.my

No comments:

Post a Comment