Wednesday, October 27, 2021

Siapakah Yang Begitu Hebat Meluluskannya....

Langsung tidak peka sensitiviti umat Islam
DIFAHAMKAN, pengeluaran arak jenama Timah diluluskan oleh kerajaan pada Jun 2020.

Namun, persoalannya, bagaimana ia boleh diluluskan sedangkan minum keras itu menggunakan nama Melayu yang boleh mendatangkan kekeliruan?

Walaupun pihak pengurusan pengeluar arak tersebut mengeluarkan satu kenyataan di Facebook pada 18 Oktober lalu bagi menjelaskan situasi sebenar, namun ia tetap mendatangkan kemarahan umat Islam.

Dalam kenyataan itu, syarikat tersebut menerangkan Timah adalah perkataan tempatan yang bermaksud timah dan jenama Timah Whiskey diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman penjajahan British.

Sementara gambar ikon di botol pula ialah Kapten Speedy yang memperkenalkan budaya wiski pada zaman tersebut.

Tidak faham bagaimana kementerian berkaitan boleh memberi kebenaran menggunakan nama dan gambar yang boleh mencetuskan kemarahan?

Bukannya mereka tidak sedar nama itu bagaikan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan berkait dengan nama Melayu dan Islam iaitu Timah yang disingkatkan daripada Fatimah.

Malah, begitu indah kerana merupakan nama puteri bongsu Nabi Muhammad SAW.

Begitu juga dengan gambar yang dipaparkan di botol minuman tersebut ialah imej individu yang seolah-olah memakai kopiah dan mempunyai janggut. Ini lebih mengundang kemarahan dan kebencian umat Islam.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga menggesa kerajaan segera mengharamkan penjualan jenama arak tersebut di pasaran memandangkan ia mengandungi kandungan alkohol sebanyak 40 peratus dan dijual pada harga RM190 sebotol.

Jumlah kandungan alkohol yang banyak bukan sahaja menimbulkan masalah sosial tetapi dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya.

MISKAM JASMAN, Batu Pahat, Johor.

No comments:

Post a Comment