Wednesday, October 27, 2021

Perjuangan Tersasar Punca Melayu Berpecah?

MERUJUK pandangan saudara Baharuddin Samek dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertajuk Tak tahulah apa nak jadi? yang diterbitkan pada 20 Oktober lalu berhubung keengganan orang Melayu untuk bersatu.

Dalam artikel tersebut, Baharuddin menyatakan situasi politik yang berlaku hari ini akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu. Ia sekali gus melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Pada masa sama, artikel itu juga mempertikaikan kenapa orang Melayu tidak bersatu sedangkan mereka boleh sahaja duduk semeja dan membincangkan apa jua masalah dan mengambil keputusan terbaik seperti dalam ajaran al-Quran.

Pun begitu, saya mempunyai pandangan tersendiri, iaitu sekiranya kita melihat kembali sejarah awal penubuhan UMNO, sangat jelas matlamat dan perjuangannya adalah untuk membela nasib orang Melayu dari segi kehidupan ekonomi dan sosial.

Kita boleh katakan sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara, perkara itu sudah dilaksanakan walaupun tidak mencapai 80 peratus. Ketika itu, kita boleh melihat golongan Melayu yang serba kekurangan dari segi harta benda sanggup berkorban untuk memajukan UMNO.

Namun, hal itu adalah ketika 35 hingga 45 tahun yang lalu tetapi sekarang parti keramat orang Melayu itu semakin hilang matlamat kerana tidak lain dan tidak bukan disebabkan pemimpinnya sudah jauh menyimpang daripada matlamat dan perjuangan sebenar serta beralih kepada memperkasakan, memperkayakan dan mengambil peluang yang kadangkala melalui saluran yang tidak dibenarkan oleh peraturan hanya untuk diri sendiri.

Inilah yang akan terus berlaku selagi nafsu untuk menambah kekayaan itu kekal di lubuk hati pemimpin UMNO.

Jika berterusan begini, saya tidak yakin nasib orang Melayu akan terbela pada masa akan datang.

DZANMUO, Bakri, Muar.

No comments:

Post a Comment