Friday, May 8, 2020

Perubahan Reka Bentuk PPR Perlu Dilakukan

Reka bentuk PPR pengaruhi tekanan mental penghuni semasa PKP
Menikmati pemandangan persekitaran hijau dari tingkap mungkin menjadi sebahagian daripada normal baru akibat pandemik Covid-19.


Berdasarkan banyak kajian berkaitan reka bentuk landskap dan aspek psikologi persekitaran, memandang persekitaran luaran hijau terbukti mampu mengurangkan tekanan mental dan meningkatkan daya tumpuan seseorang.

Namun, realitinya tidak semua masyarakat bernasib baik mempunyai laman rumah yang terbentang luas untuk dinikmati.

Satu kajian pada April 2020 mengenai kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia menunjukkan 25% sehingga 32% individu yang menghadapi tekanan mental merupakan penghuni perumahan kos rendah seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mereka lebih terkesan dengan isu kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan kerisauan melampau.

Antara faktor menyumbang kepada tekanan mental ialah kesesakan ruang dalam rumah yang dikongsi isi keluarga ramai. Keluasan 650 hingga 700 kaki persegi tidak dapat menampung isi rumah yang ada kalanya mencapai 3 generasi sejak berpindah ke PPR.

Apakah perubahan yang boleh dilakukan untuk membolehkan penghuni perumahan kos rendah, terutamanya di PPR menikmati keselesaan serta memaksimakan manfaat kawasan hijau secara visual?

Satu kajian telah dijalankan secara temubual telefon dengan penghuni PPR terpilih di sekitar Kuala Lumpur.

Kajian ini dijalankan dari 25 sehingga 29 April lalu bersama seorang wakil penduduk dari 6 PPR dan satu perumahan awam, iaitu PPR Batu Muda di Sentul, PPR Keramat, PPR Hiliran Ampang, PPR Sungai Bonus di Setapak, PPR Seri Semarak, PPR Kampung Air Panas serta Perumahan Awam Desa Rejang.

Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui pendapat penghuni tentang isu yang menyumbang kepada masalah tekanan mental serta pengesahan mengenai kesan positif pandangan luaran hijau ke atas penghuni.

Rumusan daripada kajian itu mendapati hampir semua yang ditemubual bersetuju salah satu cara mengurangkan tekanan mental jika PKP dilanjutkan ialah peluang memandang ke luar secara terus seperti di balkoni.

Namun, situasi ketika ini ialah flat PPR dan perumahan awam tidak mempunyai balkoni untuk penghuni berasa sedikit lega menikmati pemandangan luar. Keadaan seolah-olah terperangkap dengan 4 dinding menyebabkan penghuni berdepan tekanan mental.

Saranan ini antara yang terpenting kerana terdapat teori mengatakan pandangan luar dari tingkap dapat mengurangkan tekanan dengan satu kajian yang dijalankan hampir 31 tahun lalu di hospital di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang sering menjadi tanda aras sebilangan besar penyelidik tentang kesan pandangan hijau.

Untuk kajian di PPR ini, 5 daripada 8 wakil yang ditemubual membuat perbandingan dengan kediaman kos rendah sebelum dipindahkan ke PPR. Mereka berpendapat kurang tekanan ketika berada di balkoni semasa tinggal di flat lama seperti Flat Pekeliling dan Flat Seri Terengganu.

Bagaimana pula dengan persekitaran hijau di kawasan PPR? Hasil daripada temubual mendapati terdapat padang permainan serta padang yang disediakan pihak berkuasa.

Namun, sebahagian daripada penghuni PPR perlu memohon untuk mendapatkan kemudahan rekreasi di tempat mereka. Dalam senario terburuk, ada kawasan hijau dan padang permainan yang perlu dikorbankan di kawasan PPR untuk memberi laluan kepada tempat letak kenderaan yang jumlahnya di luar kawalan.

Perubahan perlu dilakukan untuk pembinaan rumah kos rendah di Malaysia. Spesifikasi yang diguna pakai untuk keluasan ruang, iaitu Standard Perumahan Kebangsaan bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa tidak boleh digunakan lagi. Normal baru daripada pelaksanaan PKP perlu diambil kira dalam pembinaan rumah.

Mental kanak-kanak tidak dapat berkembang dan masalah sosial bertambah kerana mereka perlu keluar dari ruang yang menyesakkan minda serta fizikal.

Seorang penghuni berkata, anaknya akan menggunakan koridor di depan rumah apabila membuat kerja sekolah yang diberikan secara atas talian ketika PKP. Laluan sama juga digunakan sebagai ruang untuk menjemur pakaian.

Peluang untuk menikmati pemandangan luar perlu diambil kira, di samping aktiviti isi rumah yang lain. Aktiviti berkebun, pembelajaran anak di rumah dan aktiviti sosial lain boleh dilakukan di balkoni yang dijadikan ruang pelbagai guna.

Tingkap lebih besar juga boleh disarankan untuk memaksimakan visual ke luar. Contoh perumahan yang boleh dilihat adalah di Sao Paulo, Brazil iaitu kediaman terbesar di Amerika Latin yang dinamakan “The Copan”.

Kawasan hijau di persekitaran PPR perlu diberi penekanan oleh pihak berkuasa terbabit. Reka bentuk landskap luaran hijau harus mengambil kira bagaimana ia boleh dinikmati bukan saja secara fizikal, tetapi juga secara visual.

Oleh : Shureen Faris Abd Shukor

No comments:

Post a Comment