Usul singkir PM tindakan pentingkan diri ketika krisis Covid-19
Ketika perang menentang pandemik Covid-19 masih berterusan, muncul kembali terma “usul percaya” dan “usul tidak percaya” menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.
Satu usul sudah dikemukakan Ahli Parlimen Semporna, Shafie Apdal yang juga presiden Warisan mendakwa Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.
Namun, usul itu dilaporkan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof atas alasan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik perdana menteri.
Bagi penulis, isu usul percaya atau tidak percaya bukan persoalan ketika ini.
Persoalannya adalah adakah tindakan itu wajar dilakukan semasa negara masih dibelenggu masalah dan krisis lebih besar berbanding siapa yang lebih layak menjadi perdana menteri.
Adakah perang melawan Covid-19 yang sudah meragut lebih 100 nyawa di Malaysia dilihat sebagai perkara enteng?
Adakah terdesak benar negara kita mahukan seorang pemimpin baru ketika Muhyiddin Yassin dilihat berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan dalam memimpin kerajaan dan mengetuai “perang” melawan virus maut ini?
Penulis tertanya-tanya kenapa isu usul percaya atau tidak percaya berkaitan kepemimpinan negara tidak ditangguhkan seketika, tunggulah sehingga krisis Covid-19 reda.
Ketika jentera kerajaan bergerak lancar di “medan perang”, kenapa tumpuan mereka mahu diganggu isu politik yang tidak berkesudahan sejak perubahan kerajaan 2 tahun lalu.
Adakah rakyat peduli siapa yang menjadi perdana menteri, andai ancaman Covid-19 menjadi-jadi semula nanti akibat ketamakan kuasa orang politik yang lebih mementingkan diri sendiri?
Bagaimana pula nanti dengan dasar ekonomi andai kerajaan tidak stabil akibat gangguan-gangguan tidak perlu, sedangkan usaha terbaik perlu digerakkan bagi memulihkan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.
Dalam menghadapi krisis, keputusan penting berkaitan dasar atau apa saja yang perlu harus dibuat secepat mungkin, tidak boleh dibebankan kepada pegawai kerajaan atau bertawakal mengharapkan keajaiban.
Sebab itu, penulis melihat cubaan pihak-pihak, sama ada Pakatan Harapan atau blok tertentu yang mahu menyingkirkan perdana menteri melalui usul di Dewan Rakyat sebagai tindakan mementingkan diri sendiri.
Sekali lagi, penulis mahu bertanya, tidak bolehkah kita semua tunggu sehingga perang menentang Covid-19 dimenangi atau sekurang-kurangnya sehingga krisis pandemik ini berjaya dikawal?
Selepas itu, pihak terbabit boleh mengusulkan apa pun yang mahu di Dewan Rakyat.
Apa yang perlu ditakutkan jika mereka mempunyai cukup sokongan untuk mengubah kerajaan?
Apa yang dikhuatirkan adalah tindakan sebegini boleh menyebabkan Parlimen tergantung dan mungkin memaksa pilihan raya umum diadakan lagi, walaupun baru 2 tahun rakyat mengundi.
Andai itu berlaku, apa akan terjadi kepada rakyat?
Andai ia berlaku ketika perang menentang Covid-19 masih berlanjutan, bagaimana dengan kos rawatan perubatan, pembelian peralatan serta lain-lain keperluan.
Buat masa ini, cubalah bermuafakat, kasihanilah rakyat.
Oleh: Mohd Hisham Malek
No comments:
Post a Comment