Thursday, April 4, 2019

Pengiktirafan Yang Hancing....

Iktiraf UEC mencacatkan integriti dasar pendidikan negara
Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam melihat langkah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang menerima pakai sistem pendidikan dari luar, boleh mencacatkan integriti dasar pendidikan negara.

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan kuasa yang ada pada Peguam Negara, Tommy Thomas sehingga boleh mengiktiraf UEC untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) tanpa dibawa ke Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

Beliau berkata, sepatutnya perkara tersebut dibincangkan melalui jawatan kuasa yang dibentuk oleh Kementerian Pendidikan melibatkan pakar-pakar akademik selain dibawa ke Kabinet sebelum dipertimbangkan.

"Adakah kuasa Peguam Negara boleh campur dalam urusan pendidikan di bawah kementerian. Jika Peguam Negara ada semua kuasa ini maka sudah tidak relevanlah adanya Kementerian Pendidikan dan pakar-pakar pendidikan.

"Jelas perkara itu (UEC) bertentangan dengan dasar pendidikan kebangsaan dan tidak mengikut silibus yang telah ditetapkan selain tidak sesuai apabila meletakkannya sama taraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam soal ini (iktiraf UEC) dan kita perlu melindungi sistem pendidikan kita. Apabila sistem kita dicampur dengan sistem pendidikan luar ia boleh menjatuhkan maruah kita sebagai sebuah negara berdaulat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, Tommy dalam kenyataannya memaklumkan CLP akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021 selepas melakukan perbinca­ngan dengan beberapa pihak.

Bagaimanapun keputusan Tommy itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk disifatkan sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Ramlah, sepatutnya sistem pendidikan negara yang sedia ada sudah cukup dan tidak perlu menggunakan sistem lain dari luar negara seperti UEC ini. - http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment