Tuesday, February 5, 2019

Thailand Boleh, Malaysia....?

Kerajaan perlu bertegas - Penganalisis
Undang-undang sedia ada di negara ini sudah mencukupi untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang menghina kemuliaan institusi diraja termasuk terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi negara.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, konsep lese majeste di Malaysia telah dijalankan menerusi pelaksanaan Akta Hasutan malah terdapat juga undang-undang mengambil tindakan ke atas sesiapa yang menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebarang undang-undang yang mengambil tindakan ke atas sesiapa yang menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah ter­tinggi juga dianggap sah oleh Perkara 149 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi kita sudah ada undang-undang yang cukup. Cuma persoalannya, adakah kerajaan khasnya Peguam Negara mempunyai sifat bertanggungjawab untuk membanteras masalah penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong ini?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa keperluan untuk memperkenalkan undang-undang lese majeste di negara ini wajar dibincangkan secara serius bagi memelihara kemuliaan institusi diraja berikutan perbuatan menghina raja yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Tambah Wan Rosdy, undang-undang melindungi raja-raja daripada dihina dan dipersenda seperti dikuatkuasakan di Thailand itu dilihat sebagai langkah jangka masa panjang yang berkesan bagi membendung perbuatan biadab berkenaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berpandangan undang-undang sedia ada masih tidak cukup kukuh bagi menghukum rakyat yang menghina Yang di-Pertuan Agong serta lambang-lambang negara yang lain.

“Saya rasa kita mungkin boleh ikut kaedah Thailand tetapi mestilah sesuai dengan keadaan di negara kita. Undang-undang yang ada sekarang orang masih menghina institusi diraja, cuba kita lihat dalam Facebook, cukup teruk cara penghinaan tersebut.

“Kita kena kembali kepada asas pembinaan negara, kita ada Rukun Negara iaitu prinsip pertama Kepercayaan Kepada Tuhan serta yang kedua Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Ini bermaksud adalah tidak dibenarkan untuk kita menghina institusi diraja di negara ini malah termasuk kepada lambang-lambang negara yang lain seperti bendera dan lagu kebangsaan,’ katanya. - www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment