Wednesday, November 14, 2018

Peminjam PTPTN Paling Teruk Tertipu

UMPAMA jatuh ditimpa tangga, peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibawa menaiki ‘roller coaster’ janji manis pilihan raya, bermula daripada pendidikan percuma, memansuhkan semua pinjaman atau penangguhan bayaran balik, tetapi akhirnya pemotongan wajib terus daripada gaji bulanan pula.

Berbanding pelbagai diskaun, pelepasan malah menjadikan biasiswa bagi graduan cemerlang oleh kerajaan tersdahulu, peminjam PTPTN kini tidak boleh ‘lari’ lagi apabila Menteri Kewangan sendiri mengumumkan potongan wajib dalam Bajet 2019.

Sebagai bekas peminjam PTPTN, saya tetap terasa kejutan itu walaupun saya sendiri sudah habis membayar pinjaman tersebut. Bukannya mahu menyokong keengganan segelintir peminjam membayar balik hutang tetapi memikirkan implikasi janji-janji manis manifesto parti politik.

Ahli politik yang rata-ratanya orang kaya, jika tidak jutawan dan bilionair, langsung tidak mampu merasai mahupun dapat membayangkan beban pinjaman pendidikan bagi rakyat marhaen.

Mereka dan ahli keluarga mereka mampu makan lobster setiap hari sedangkan rakyat marhaen hanya mampu makan udang kertas yang paling murah.

Sebab itu dari dahulu lagi anak muda sudah dinasihatkan jangan percaya janji manis orang politik kerana mereka tidak duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan masyarakat peringkat akar umbi.

Nasi sudah menjadi bubur, apa pun keputusan kerajaan baharu kita perlu terima kecuali jika belia berani bangkit membantah seperti era pemerintahan kerajaan lama.

Saya cuma ingin nasihatkan, selepas ini fikir secara rasional dan realistik dalam mendengar dan menghadam janji manis orang politik lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya.

Oleh : Graduan UiTM

No comments:

Post a Comment