Tuesday, November 20, 2018

Basah Kena Kencing.....!

ICERD bertentangan Perlembagaan, masih mahu tegak benang basah?
Kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, ratifikasi ICERD akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Penegasan Perdana Menteri itu seperti dilaporkan Bernama nyata menyangkal kenyataan beberapa menteri sebelum ini.

Selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang berulang kali menyatakan soal hak istimewa bumiputera dan raja-raja Melayu tidak akan dibelakangi dengan ratifikasi konvensyen tersebut, beberapa menteri lain juga mengungkapkan nada yang sama.

Paling menarik perhatian tentunya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang meminta siapa yang tidak faham mengenai ICERD agar bertemu dengan beliau sebelum mahu mengatakan konvensyen itu bertentangan dengan Perlembagaan.

Tidak terkecuali, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah - kementerian yang sebenarnya bertanggungjawab soal ratifikasi konvensyen antarabangsa. Kalau menterinya tuntas ketika hal ini kali pertama dibangkitkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat 15 Oktober lalu, perkara ini tidak meleret sebegini.

Hakikatnya, yang membantah sebarang hasrat Malaysia meratifikasi ICERD bukan baru, penentangan berlaku sebelum Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya lagi. Dan yang membantah bukan berkelulusan seperti Mujahid atau naratif mereka seperti Waytha Moorthy tetapi terdiri daripada pengamal undang-undang dan bekas hakim.

Memetik Facebook Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar:

“Dulu dan kini kami bantah, kerajaan pun berbeza. Macam mana jadi isu politik pula?,”

Dan apabila Dr. Mahathir secara jelas mengatakan ICERD akan melibatkan pindaan Perlembagaan, apakah ada lagi menteri yang mahu terus menegakkan benang basah atau parah lagi mahu bagi kelas undang-undang perlembagaan?

Harapannya tidaklah. Cukup dengan kenyataan Perdana Menteri di Port Moresby semalam.

Dan jika diamati, kenyataan Perdana Menteri itu satu bentuk kearifan atau wisdom. Beliau tidak memberi satu titik noktah tetapi menendang kembali bola kepada pihak-pihak yang beria-ia mahukan kerajaan meratifikasi ICERD.

Mesejnya barangkali, “boleh desak semahu mana pun, tetapi tetap tidak boleh diratifikasi kerana perlu pinda Perlembagaan. Hendak dua pertiga? Ini perlu disokong ahli Parlimen Melayu, Islam dan bumiputera. Mahukah mereka?,”

Justeru, kekalkanlah keharmonian, terimalah hakikat peruntukan Perlembagaan yang diwarisi sejak merdeka. Usahlah buat kerja sia-sia, bimbang lain pula terjadi.
utusan online

No comments:

Post a Comment