Thursday, September 29, 2016

Tiada Istilah Perubatan Islam

Apa yang dimaksudkan dengan perubatan Islam dan adakah perubatan berdasarkan doa itu diiktiraf sebagai perubatan Islam?

Islam tidak menetapkan cara tertentu untuk diiktiraf sebagai perubatan Islam, sebaliknya apa sahaja sistem perubatan tidak bertentangan dengan syariat diterima dalam Islam.

Perubatan berdasarkan doa dan jampi (rukyah) adalah baik selagi jampi itu tidak syirik kepada Allah, maka ia boleh diamalkan. Ini berdasarkan kisah sahabat nabi yang membaca surah al-Fatihah kepada seorang dipatuk haiwan berbisa. Begitu juga terdapat pelbagai riwayat doa rukyah dalam riwayat hadis.

Manakala, perubatan moden berdasarkan kajian klinikal dan ilmu sains seperti di hospital dan klinik juga tidak bertentangan dengan Islam. Begitu juga perubatan herba dan sebagainya.

Secara ringkas, Islam menerima semua bentuk perubatan yang tidak bercanggah dengan Islam. Maka tidak sewajarnya nama perubatan Islam diletakkan pada satu jenis perubatan sahaja seolah-olah perubatan lain menyalahi syarak.

Justeru, tidak menjadi kesalahan dalam Islam untuk mencuba pelbagai jenis perubatan. Sebagai contoh, seorang doktor pakar dalam perubatan moden tidak salah baginya mencuba perubatan tradisional seperti urutan dan minuman herba.

Begitu juga tidak salah bagi seorang ustaz yang mengamalkan perubatan berasaskan rukyah menggunakan perubatan moden. Islam tidak menyempitkan kehidupan dengan satu sistem perubatan sahaja. Apa yang penting ialah kesihatan yang baik dan amalan perubatan tidak bertentangan dengan syariah. - utusan

No comments:

Post a Comment