Saturday, September 24, 2016

DAP Masih Gagal Tawan Jiwa Melayu

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 18 September 2016 memaparkan tulisan Chew Kwang Yew dalam ruangan Dalam Negeri mengenai kegagalan DAP ­menawan jiwa orang Melayu.

DAP adalah sebuah parti yang mengamalkan demokrasi sosial sebagai teras kepada nilai-nilai seperti kebebasan, sama rata, liberalisasi, menjaga hak wanita dan lain-lain.

Namun, masih wujud banyak perbezaan ketara, bukan kerana DAP terlalu agresif mahupun terlalu mengamalkan politik progresif yang pada dasarnya menentang orang Melayu sebaliknya keseluruhan masyarakat Melayu begitu konservatif (tertutup) sementara UMNO dan Pas sering memburuk-burukkan DAP.

Cubaan DAP menaikkan nama mereka memang sudah dijangka menakutkan orang Melayu kerana selama ini minda masyarakat Melayu telah dicuci oleh UMNO se­hingga mereka menganggap sayap kiri itu pastinya komunis. Ini bermakna komunis tidak ada agama, parti Cina berhaluan kiri mengikut telunjuk komunis tanah besar China, menentang raja-raja Melayu, menentang hak istimewa orang Melayu dan sebuah parti fanatik.

DAP amat gerun apabila dilabelkan seperti itu se­hinggakan mesyuarat majlis parti sosialis rantau Asia di Kuala Lumpur pada 1999 diadakan secara senyap tanpa pengetahuan pihak media tetapi berjaya dihebahkan ­akhbar Utusan Malaysia ketika itu.

Selama ini mereka tidak mengharapkan sokongan daripada golongan atasan tetapi DAP kini berdepan dengan emosi yang kuat dalam tuntutan sama rata antara kaum.

Emosi ini dalam masyarakat Cina telah merentasi sempadan golongan atasan bermula dari kampung-kampung baharu Cina sehingga ke kota metropolitan tanpa ­mengira apa dialek pertuturan mereka, tidak kira dari pelosok mana, semuanya membawa semangat mahu menentang UMNO yang dikatakan diktator dan cuba mengasimilasikan kaum lain.

Orang Melayu amat takut kepada DAP kerana budaya, agama, kaum dan sejarah telah diselewengkan oleh UMNO. Sebenarnya DAP tidak condong ke kiri dan juga amat jarang timbul isu sosialis, langsung tidak agresif.

Perjuangan DAP sebenarnya sangat liberal, mereka ­kemukakan hak asasi manusia, sama rata, kebebasan ­media, sistem masyarakat bebas, pendidikan bebas, ­pilihan raya secara adil dan lain-lain.

DAP sebenarnya langsung tidak mampu mencapai apa yang disebut ‘liberalisme sosial’ tetapi orang Melayu masih tetap takut kepada DAP.

Sumber : utusan

No comments:

Post a Comment