Sunday, January 11, 2015

Penghinaan The Movie.....Amaran jee!

Lagi provokasi, penghinaan
Adalah tidak masuk akal bagi mana-mana individu dan pihak mendakwa atau mengaitkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan penyebaran fahaman ekstrem. Apatah lagi menuduh fahaman itu disebarkan pada setiap hari Jumaat yang boleh ditafsir sebagai khutbah ketika solat Jumaat. Inilah pertama kali dalam sejarah ada dakwaan sedemikian terhadap Jakim. Awang hairan bagaimana peguam hak asasi, Eric Paulsen boleh membuat kenyataan fitnah dan berbau hasutan itu menerusi Twitter. 

Jika khutbah Jumaat yang dimaksudkan, beliau sudah melampau dan salah. Buatlah kajian, khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jakim selama ini sentiasa menyeru umat Islam kepada kesederhanaan, perpaduan, saling menghormati sesama agama dan kaum serta nilai-nilai murni sejagat biarpun kerap menyentuh soal menjaga kesucian Islam dan akidah. 

Malah bagi beberapa sarjana Islam tempatan, khutbah Jakim dilihat agak 'lembut' dan adakalanya tidak reflektif kepada tekanan yang dihadapi oleh umat Islam. Lalu Awang tertanya-tanya apa motif Paulsen dan siapa di belakangnya? Apakah beliau mahu menguji sejauh mana reaksi umat Islam dengan provokasi berbahaya seperti itu? 

Maka tiada sebab untuk Paulsen menggesa kerajaan menangani Jakim berhubung dakwaannya itu. Jakim bukan organisasi militan seperti Boko Haram di Nigeria, yang mengganas lagi semalam. Sebaliknya yang sepatutnya ditangani segera ialah diri beliau. Kalau di Singapura, tidak perlu tunggu esok hari, pihak berkuasa sepantas unit tindakan khas bergegas mencari individu seperti itu sebaik-baik sahaja kenyataan hasutan terdedah kepada umum. 

Pada Awang, kenyataannya itu sendiri sudah ekstrem atau melampau yang datang daripada pemikiran ekstremisme. Ini satu lagi penghinaan ke atas Islam di negara ini, yang tidak boleh diterima sama sekali. Bagi mengelakkan sebarang kemudaratan, sememangnya beliau perlu disiasat oleh polis di samping tampil memohon maaf secara terbuka. 

Awang berharap Paulsen tidak terlepas dan mesti mengambil tanggungjawab terhadap kenyataannya itu. Beliau seharusnya faham tentang sensiviti agama dan mengambil pengajaran dalam banyak insiden termasuk yang terbaharu di Paris. Awang berpegang kepada keyakinan semua bentuk keganasan perlu dikutuk dan ekstremisme pula ditolak. Namun provokasi yang keterlaluan terutama menghina agama boleh mengundang tindak balas yang akhirnya boleh juga bertukar menjadi keganasan. Tolong jangan undang dan percikkan keganasan di negara yang aman dan harmoni ini.

Oleh  : Awang Selamat

No comments:

Post a Comment