Tuesday, June 18, 2013

Mencari Arus Melayu

Program Arus Melayu yang dianjurkan selama dua hari sempena George Town Festival 2013 merupakan penglibatan julung kali Penang Institute dalam pesta bertaraf antarabangsa ini. Saya masih lagi teringat, ilham untuk mengadakan program ini telah tercetus semasa perbualan santai kira-kira enam bulan yang lalu di antara saya, Pengarah Festival Joe Sidek, Prof Muhammad Hj Salleh serta beberapa lagi rakan yang lain. Sepertimana Joe Sidek, saya sendiri berasa teringin untuk memahami warisan budaya kita dengan lebih mendalam.

Persoalan pokoknya adalah: siapakah Melayu dan dari mana datangnya? Dalam konteks Malaysia, mungkin soalan itu tidak selalu dikupas, memandangkan Perlembagaan kita sudah pun memperuntukkan takrifan untuk orang Melayu, yakni: beragama Islam, mengamalkan adat Melayu serta bertutur dalam bahasa Melayu.

Jika diteliti, definisi rasmi ini sangat menarik kerana ia tidak langsung berkaitan dengan konsep kaum. Sebaliknya, ia merupakan konsep politik yang direka untuk menggolongkan suku-suku kaum yang berbeza kepada satu rumpun berdasarkan agama dan bahasa sebagai penyebut sepunya. Tetapi jika kita menjejaki asal-usul takrifan ini, kita akan mendapati bahawa ia sebenarnya berpunca daripada Enakmen Rizab Melayu 1913 yang telah diggubal oleh kerajaan British. Maka, takrifan Melayu yang telah diwarisi ini juga boleh dikatakan sebagai binaan atau konstruk kolonial yang telah dizahirkan demi kemudahan birokratik. Dan sekiranya takrifan Melayu Malaysia ini diterima pakai, tidakkah ia bercanggah dengan pemahaman Melayu di negara-negara lain?

Sebagai contoh, di Indonesia, Melayu itu merujuk kepada satu kumpulan etnik atau suku kaum yang tertentu. Dan jika di Malaysia, orang berketurunan Jawa, Minang, Bugis dan lain-lain lagi dianggap sebagai Melayu, ini langsung tidak berlaku di Indonesia. Orang Jawa di Indonesia tidak sesekali pun akan menganggap dirinya Melayu sebagaimana orang Jawa di Malaysia.

Malah, istilah “masuk Melayu” di sesetengah tempat di Indonesia boleh membawa maksud memeluk agama Kristian. Ini mungkin tidak dapat dibayangkan di Malaysia kerana dalam masyarakat kita, Melayu dan Islam adalah kata-kata yang sering ditukar ganti.

Keadaan yang sebegini boleh menimbulkan percanggahan dalam konteks negara kita, di mana seorang Melayu dari negara lain tidak boleh dianggap sebagai Melayu di negara kita kerana tidak memenuhi syarat agama. Jadi, timbullah masalah bagaimana konsep Melayu dalam takrifan politik boleh diselaraskan dengan konsep Melayu dalam takrifan kaum.

Melayu bukan milik Malaysia
Sebenarnya, Melayu bukanlah sesuatu konsep yang tetap. Ia juga tidak harus dimonopoli dan dianggap sebagai satu kumpulan monolitik sepertimana yang digambarkan di Malaysia. Yang paling penting, kita harus sedar bahawa Melayu itu bukan milik eksklusif negara Malaysia. Sebenarnya, orang Melayu bukan sekadar terhad kepada gugusan kepulauan Melayu, tetapi boleh dijumpai di serata dunia termasuk di Surinam, Madagascar, Afrika Selatan, Sri Lanka dan juga Christmas Island.

Bagi saya, kerencaman bangsa Melayu ini adalah sangat menarik dan perlu diberi lebih perhatian dalam bicara umum. Identiti Melayu sememangnya suatu identiti yang kompleks dan sentiasa berkembang. Ia memerlukan penghayatan yang terbuka dan tidak dihindari batas-batas buatan. Dalam erti kata lain, saya percaya bahawa persoalan jati diri Melayu tidak harus dibiarkan berada di tangan ahli politik semata-mata. Apatah lagi di tangan gerombolan politik yang menggunakan isu ini sebagai modal untuk mengukuhkan sentimen etno-nasionalisme sempit yang merugikan semua, khususnya orang Melayu sendiri.

Sesungguhnya, sejarah telah membuktikan bahawa rahsia kejayaan dan panjang umur sesuatu tamadun itu adalah kebolehan masyarakatnya untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman. Dalam pada itu, evolusi bangsa Melayu yang telah pun tersebar luas sepanjang abad-abad yang lalu jelas menunjukkan bahawa budayanya tidak eksklusif, malah ia sangat terangkum.

Oleh itu, adalah wajar dan penting bahawa masyarakat kita tidak dikongkong oleh sentimen-sentimen sempit dan sebaliknya diberikan pilihan wacana jati diri Melayu yang lebih jujur, inklusif dan juga rasional. Saya secara peribadi percaya bahawa kita tidak perlu apologetik dalam membicarakan isu kaum, budaya, bahasa dan bangsa. Namun, laras yang kita pilih sangat mustahak. Jika persoalan kebudayaan yang sebegini rumit dan rencam, disempitkan dan dikaitkan secara langsung kepada jatuh bangun sesuatu parti politik, maka ia bukan sahaja kelihatan dangkal malah juga menghina keperibadian dan sejarah panjang sesuatu bangsa itu sendiri.

Budaya itu susuk dan citra bangsa
Tujuan Penang Institute menganjurkan program Arus Melayu yang merangkumi bukan sahaja juadah intelektual daripada tokoh-tokoh kebudayaan tempatan tetapi juga tayangan filem serta persembahan musik diaspora Melayu dari seluruh dunia adalah untuk menawarkan para hadirin dengan pengalaman kebudayaan yang tuntas. Semoga kita dapat mengenali dengan lebih rapat susuk keperibadian Melayu melalui medium-medium kebudayaan tersebut.

Buat pengetahuan semua, ini bukanlah kali pertama Penang Institute menganjurkan program seumpama ini. Sebelum ini, melalui siri Forum Nusantara, Penang Institute telah menghadirkan ramai tokoh kebudayaan dari dalam dan luar negeri untuk mencetus kembali budaya pencerahan di Pulau Pinang dengan perbincangan yang mengupas buah fikiran para intelektual Melayu dahulu. Selain itu, Penang Institute pada tahun lalu telah menganjurkan Festival P Ramlee yang telah berlangsung selama sebulan, bukan sahaja sebagai penghargaan kepada tokoh Seniman Negara kita, malah kepada semua bakat tempatan di negara ini.

Maka, saya berharap saudara-saudari akan menikmati keindahan identiti dan pesona Melayu yang bakal disampaikan oleh barisan panelis kita yang telah didatangkan khas, iaitu pakar etno-matematik Prof Shaharir Mat Zain, Sasterawan Negara Dr Muhammad Hj Salleh, budayawan Saudara Eddin Khoo dan pengarah filem Saudara Dain Said.

Sekian, terima kasih.

Ucapan pembukaan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera di program ‘Arus Melayu’ anjuran Penang Institute sempena Festival George Town 2013.

No comments:

Post a Comment