Tuesday, September 18, 2012

Ketuanan Melayu

ISTILAH ketuanan Melayu sering menimbulkan salah faham dan kekeliruan terhadap masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini.

Sehingga ada yang berpendapat, istilah ketuanan Melayu yang digunakan perlu diganti dengan ketuanan Islam kerana ia adalah lebih bersifat sejagat berbanding ketuanan Melayu yang hanya bersifat kebangsaan.

Malah terdapat juga yang mendakwa istilah ketuanan Melayu dilihat seperti amalan tuan dan hamba yang memberi kuasa mutlak kepada tuan untuk mengarahkan apa sahaja kepada hambanya.

Pelbagai lagi persoalan terus dibahas dan dipertikaikan hingga ke hari ini sehingga ada pihak yang didapati semakin berani untuk cuba menghapuskan konsep ketuanan Melayu dan meminda hak keistimewaan Melayu yang telah digubal dalam perlembagaan negara.

Namun, pendapat tidak berasas dan tiada kajian itu dilihat hanya merugikan bangsa Melayu, sekali gus mempengaruhi kekuatan Islam di negara ini yang dihuni oleh majoriti orang Melayu beragama Islam.

Perkara itu diakui oleh Profesor Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dalam buku penulisannya bertajuk, Masih Adakah Ketuanan Melayu?.

Ridhuan Tee berkata, walaupun beliau berketurunan Cina, namun demi kestabilan dan keutuhan Islam di negara ini, pensyarah dan pendakwah terkemuka itu mengakui kekuatan Islam terletak kepada kekuatan orang Melayu.

"Antara pertembungan agama dan bangsa, maka pastilah agama yang perlu diutamakan. Oleh itu, untuk memastikan kekuatan agama terus berkembang meluas maka bangsa Melayu di negara ini memegang kekuatan itu.

"Jika bukan kerana orang Melayu mengamalkan agama Islam dan juga merupakan masyarakat majoriti, saya mungkin tidak menyebelahi Melayu.

"Tetapi realitinya di Malaysia Islam terletak pada kekuatan Melayu, jika kuat pengaruh orang Melayu, maka bertambah kuat dan tersebar luas Islam di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran buku Masih Adakah Ketuanan Melayu? dan Cabaran Saudara Baharu di Malaysia di Auditorium, Wisma Perdana Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah), baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Ridhuan Tee, menerusi buku itu beliau berkongsi idea untuk membangkitkan semula kesedaran orang Melayu yang dilihat semakin leka memikirkan isu yang melanda negara.

"Keadaan ini semakin membimbangkan apabila orang Melayu terus merasa selesa sehingga membuatkan mereka tidak mahu campur tangan terhadap isu negara.

"Ini yang mendorong berlakunya perpecahan dan perbalahan yang semakin meruncing dalam kalangan orang Melayu sendiri pada masa ini.

"Melalui buku Masih Adakah Ketuanan Melayu? ini, saya mengetengahkan idea-idea mengenai keistimewaan orang Melayu dan potensi yang ada untuk menyedarkan masyarakat khususnya orang Melayu bagi memperbaiki permasalahan ini," katanya.

Oleh : Mohd. Shah Che Ahmad

No comments:

Post a Comment