Tuesday, January 24, 2012

Bank Islam Tersasar?

KUALA LUMPUR - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melahirkan kebimbangan terhadap trend bank-bank Islam tempatan pada waktu ini yang semakin mengejar keuntungan berbanding menepati 'maqasid' (matlamat) syariah.

Bank-bank Islam tempatan sepatutnya memakmurkan umat berbanding mengutamakan keuntungan.

Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan bank-bank Islam ini diterajui oleh -pemimpin muda yang mempunyai aliran pemikiran lebih moden, walaupun tidak dinafikan kealimannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Adnan Alias berkata, berbanding generasi perintis bank-bank Islam di negara ini yang lebih tulen, peneraju-peneraju muda pada waktu ini didapati lebih cenderung mencipta keuntungan untuk bank masing-masing.

Beliau menegaskan, mencari keuntungan tidak salah, tetapi pengagihan perkongsian keuntungan dengan bank sekular perlu lebih diteliti supaya tidak bercampur dengan unsur yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Katanya, peneraju muda juga perlu lebih peka terhadap tuntutan syariah dan tegas dalam membezakan apa yang boleh dan tidak boleh.

"Peneraju-peneraju muda perlu lebih berhati-hati dari segi pengasingan keuntungan dengan sistem yang diperoleh oleh bank sekular.

"Saya tidak nafikan bahawa tekanan daripada lembaga pengarah atau pihak pengurusan atasan mungkin menjadi penyebab peneraju-peneraju muda dalam bank-bank Islam berbuat demikian dan mereka semakin larut dengan perkembangan semasa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Adnan menambah, secara peribadi beliau berbangga dengan pencapaian bank-bank Islam tempatan pada waktu ini dan sama sekali tidak meragui dan mempertikaikan ketulenan Islam dalam bank-bank Islam tempatan.

Malah, katanya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai bank-bank Islam yang tulen produknya.

"Bank-bank Islam tempatan juga menjadi pelopor kepada sistem kewangan Islam dunia dengan memperkenalkan sukuk yang juga kini dituruti oleh bank-bank Islam di negara-negara Arab,'' ujarnya.

Oleh : Azman Ibrahim

No comments:

Post a Comment