Wednesday, January 4, 2012

Bangsa Lain Pandang Sinis Kebebalan Politik Melayu

Kemelut berpunca daripada suka mempolitikkan semua hal termasuk agama jadi ancaman utama

BERJUTA rakyat kota berpesta ria menyambut Tahun Baru 2012. Di puncak Genting Highlands pun dilaporkan begitu gamat dengan telatah serta sorakan 80,000 pengunjung. Betapa aman dan makmurnya negara kita. Namun 2011 meninggalkan pelbagai tanda tanya yang serius dan sensitif. Di dalamnya tersirat pelbagai tanggapan politik yang sinis dan kritikal.

2012 yang baru masuk hari keempat hari ini pun bakal menyambung tanda tanya tinggalan 2011 yang belum ada jawapan yang meyakinkan, ditambah pula dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), yang sifatkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO - yang juga Perdana Menteri dan Timbalannya - dikatakan pilihan raya paling getir dalam sejarah pilihan raya.

Datuk Seri Najib Razak dengan Gagasan 1Malaysia telah melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan dan tuntutan rakyat. Pelbagai pelan transformasi dilancarkan sejak 2010 dan berbillion ringgit dilaburkan dan diagihkan sepanjang 2011 hingga melimpah ke 2012. Tindakan seperti ini belum pernah dilakukan, meskipun pada zaman kehebatan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sayanglah, sepanjang 2011 terutama di kalangan orang Melayu dan pribumi Islam yang prihatin, sentiasa resah gelisah melihat dan berasa keadaan semasa dan masa depan Melayu-Islam yang terancam - seolah-olah tiada lagi daya dan kemampuan untuk menghadapi banyaknya cabaran negatif. Justeru, kempen panjang menjelang pilihan raya paling getir itu menimbulkan suasana tidak tenteram.

Kegelisahan dan kebimbangan politik ini telah merentasi tembok istana. Raja-raja yang memerintah sudah sering memberi tindak balas kritikal, bahkan amaran berbahasa keras, yang sebelum ini tak pernah berlaku. Kemelut sosial politik, terutama yang menggugat kedudukan Melayu-Islam dan institusi raja, nampaknya akan berterusan.

Tidak pernah dijangka, kemelut seperti ini berpunca dan terjadi dalam gerakan politik Melayu-Islam sendiri, yang akhirnya membuka jalan untuk orang di luar masyarakat Melayu-Islam, mengambil kesempatan menyalakan api dan menimba keuntungan.

Mujurlah Najib bersikap bijaksana, membendung dirinya daripada terjebak dalam kancah kempen politik tidak sopan yang membawa permusuhan dan kebencian. Meskipun beliau menutup Perhimpunan Agung UMNO 2011 dengan seruan “Ayuh! Ayuh! Ayuh! Semua ke medan perang”, namun beliau meneruskan kerja pembangunan sosial ekonomi seperti tiada apa pun halangan di hadapannya.

Baginya ‘perang politik’ hanya dalam pilihan raya. Di luar pilihan raya tugas kita adalah membangun bangsa dan negara. Itulah kerja menteri dan pemimpin parti, pegawai kerajaan dan wakil rakyat.

Namun rakyat prihatin mengharapkan Najib akan segera memberikan jawapan terhadap masalah peninggalan 2011 itu, khususnya mengenai kontroversi penyenaraian syarikat FELDA di Bursa Saham; penipuan dan penyelewengan dalam projek ternakan lembu (NFC) di Negeri Sembilan dan terbaru, penipuan serta rasuah membabitkan projek mega pembangunan Iskandar di Johor yang sangat hebat publisitinya. Ketiga-tiganya membabitkan kerajaan dan jumlah wang berbillion ringgit.

Di samping itu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo baru saja dihukum penjara kerana tuduhan rasuah – membuktikan anggapan rakyat ada kebenarannya. Belum tahu lagi keputusan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan seorang menteri kanan dan rasuah serta kerugian berbillion ringgit di Sime Darby Berhad. Kedua kes terakhir ini termasuk dalam senarai kes berprofil tinggi dalam tindakan SPRM.

Ketika merasmikan Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di UKM 12 Oktober 2011, Tun Mahathir dengan nada tegas mengingatkan “kuasa politik Melayu akan hilang 10 tahun lagi”. Ramai yang hadir termenung sejenak.

Sudah berkali-kali Tun Mahathir memberi amaran, bahawa terpecahnya bangsa Melayu kepada tiga kumpulan – dalam perebutan kuasa politik – bangsa Melayu yang majoriti telah jadi kelompok minoriti. Tidak ada Melayu yang waras politikya yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Golongan yang prihatin sudah lama tahu. Namun dalam soal berkaitan agama pun orang Melayu semakin serius bertelagah terus.

Bangsa Melayu tidak mampu menangani masalah berkaitan agama Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Isu yang kecil-kecil pun dipolitikkan menjadi besar. Jadi berita hebat sensasi dalam media Melayu. Serangan terhadap akidah Islam dan tindakan terhadap usaha memurtadkan orang Islam pun tak dapat kita tangani bersama. Masing-masing mahu menunjukkan kelebihan, lalu jadi isu politik yang menikam sesama sendiri.

Pasal surau kita mendabik dada bertelagah. Pasal sembahyang di masjid kita terus bermusuhan puluhan tahun. Apa saja yang berlaku semuanya dipolitikkan. Memang orang Melayu sangat suka berpolitik, meskipun sudah terjadi ‘alah sabung menang sorak’. Ramai yang jadi ‘ayam jantan yang kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Di luar parti politik, pelbagai pertubuhan rakyat yang tiba-tiba tumbuh begitu banyak, termasuk golongan cendekiawan dan profesional, ghairah sekali membuat laporan polis dan berdemonstrasi apabila saja ada peristiwa yang menghina dan menggugat agama. Tetapi tidak nampak satu usaha pun untuk memperkasa pendidikan agama kerana usaha ini susah dan memerlukan kesungguhan kerja dan tidak akan ada publisiti dalam media.

Yang mudah dan mengghairahkan ialah jadikan ia isu yang boleh dipolitikkan. Buat laporan polis dan kenyataan dalam media. Pada hal kita tahu politik bukan tugas polis. Memperkasakan pendidikan Islam bukan juga tugas polis. Sekolah agama rakyat masih jadi peminta sedekah di merata jalan.

Orang bukan Islam memandang kegilaan dan kebebalan politik Melayu-Islam ini dengan senyum sinis. Di atas pentas ceramah politik parti Melayu-Islam, apabila orang bukan Melayu menghina bangsa dan agama kita dengan bahasa yang sangat memalukan, orang yang duduk di keliling ketawa sinis dan bertepuk bangga. Apa dah jadi pada bangsa kita.

Kita jadi seperti tukang kayuh perahu yang membawa Si Luncai dalam guni – untuk dicampak ke dalam sungai – menyanyikan lagu Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!

Oleh : Noor Azam

No comments:

Post a Comment