Thursday, September 15, 2011

Remaja Dan Perspektif Sejarah

SEJARAH adalah rakaman mengenai peristiwa silam. Ia berlaku dalam konteksnya yang tersendiri. Sifat sejarah selalunya mengulangi jejak. Fakta sejarah pula amat terdedah dengan tafsiran.

Suatu ketika dulu, sejarah Malaysia di bawah orientasi Barat. Kemudian ia berubah dan diberikan orientasi Malaysia. Oleh itu sejarah yang merakamkan faktor masa dan ruang berada dalam dua dimensi.

Pertama, ia merakamkan peristiwa yang berlaku pada zaman-zaman tertentu. Kedua ia diberikan tafsiran. Penganalisis sejarah harus berlaku adil terhadap fakta dan zaman peristiwa itu berlaku.

Ibarat melihat gambar hitam putih di tahun-tahun 50-an tidak sama dengan gambar-gambar yang terdapat di abad ke -21 ini.

Para remaja pula dalam masa yang sama harus mampu memahami perjalanan sejarah yang sifatnya sambung menyambung supaya daripada sejarah terkandung pengajaran yang perlu dijadikan pedoman.

Mempelajari sejarah Islam dimulakan dengan mengkaji sejarah jahiliah. Sejarah jahiliah ditulis seadanya mengikut perspektif zaman itu. Kemudian berlakulah sejarah Islam dan ia ditulis mengikut perspektif Islam.

Seterusnya pada zaman Andalusia, puncak kepada zaman Islam. Sejarah Andalusia difahami mengikut perspektif zamannya.

Susah tentu ada perbezaan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah dengan apa yang berlaku pada zaman Andalusia.

Mempelajari sejarah dalam perspektifnya adalah sesuatu yang perlu. Jika tidak, kita akan memberi tafsiran yang salah terhadap fakta sejarah.

Contohnya apabila polis pada zaman penjajahan sebagai alat British dan pengkhianat tetapi menganggap penyerang mereka sebagai wira adalah sesuatu yang menyimpang daripada yang sepatutnya.

Dalam keadaan apa sekalipun kekejaman seperti yang berlaku di Bukit Kepong tidak harus dipersetujui. Apatah lagi bukan sahaja anggota polis yang terkorban, malah sanak keluarga yang tidak bersalah turut diheret menjadi mangsa kekejaman komunis.

Remaja harus faham bahawa perjuangan komunis selamanya bercanggah dengan perjuangan Islam. Membuat kenyataan yang provokatif seperti itu mengundang kecaman dan kritikan tajam dari banyak pihak.

Bayangkan para remaja yang sedang mempelajari teks sejarah yang menyatakan komunis itu adalah musuh negara boleh menyebabkan generasi muda menjadi keliru dan celaru.

Antara apa yang diajar oleh guru-guru sejarah dengan apa yang mereka lihat dalam akhbar boleh menjadikan mereka sangsi.

Justeru amat penting sejarah itu dilihat dalam perspektif zamannya. Zaman British umpamanya, tentangan di kalangan orang-orang Melayu terhadap penjajah tetap berlaku. Hizbul-Muslimin dan Pekembar (atau UMNO) misalnya, tetap menentang fahaman komunis.

Kita tidak boleh mengatakan orang-orang Melayu secara mutlak menyokong British.

Banyak pihak terlibat dalam menentang British. Datuk Sagor, Mat Kilau dan Datuk Bahaman adalah tokoh-tokoh menentang British. Tetapi mereka tidak pula bersubahat dengan komunis.

Begitu juga penentangan terhadap Malayan Union adalah lambang kebangkitan orang Melayu bagi membantah usaha menghapuskan kuasa-kuasa raja melayu di Malaysia. Oleh itu, mengatakan komunis itu sebagai hero adalah sesuatu yang keterlaluan.

Para remaja harus faham bahawa jika tidak ada polis dan tentera yang berjuang habis-habisan kemungkinan Malaysia boleh jatuh ke tangan komunis.

Peristiwa 13 hari komunis menguasai Malaysia selepas Jepun kalah adalah titik hitam di mana orang Melayu dibunuh dengan kejam dan mati tanpa kubur. Komunis menguasai titik-titik strategik untuk menguasai Malaya pada ketika itu.

Apakah perkara-perkara ini boleh dilupakan begitu sahaja kerana komunis Malaysia waktu itu ada kaitan dengan komunis tanah besar China dan Rusia yang bercita-cita menguasai dunia.

Begitu juga apabila kita mengkaji sejarah Melaka. Ia tidak bermula dengan kedatangan Islam. Ia bermula dengan pengkisahan Parameswara yang menganut fahaman Hindu. Tetapi dalam sejarah ia dicatatkan dan ditulis seadanya.

Apabila Islam datang ke Melaka corak pengolahan sejarah sudah tentu berubah.

Oleh kerana sejarah mengulangi jejak, pentafsir sejarah harus bijak memahami faktor zaman dan cabaran lingkungan.

Faktor zaman ini amat terdedah dengan pengaruh globalisasi. Faktor politik masa depan diramalkan akan terdedah kepada kebangkitan tanah besar China.

Oleh : Nurul Izzah Sidek

Komunisme Fahaman Tidak Bertuhan

No comments:

Post a Comment