Wednesday, August 24, 2011

Akidah Pertaruhan Politik?

RAMADAN kali ini sememangnya memberikan ujian besar kepada umat Islam di negara ini. Di tengah-tengah kerancakan bertarawih dan bertazkirah di masjid-masjid, kita bagaikan 'ditampar' apabila timbul isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Ujian kepada kita adalah apabila isu itu timbul, ia menyerlahkan betapa kepimpinan umat Islam sendiri tiada kata sepakat. Malah ada yang memandang sinis dan begitu cepat menuding jari terhadap JAIS.

Kerajaan negeri Selangor awal-awal lagi dalam reaksi segeranya menyatakan kekesalan atas pemeriksaan JAIS itu meskipun dalam masa tersebut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim belum lagi mendapat laporan daripada agensi agama tersebut.

Sikap ini cukup menghairankan kerana sepatutnya JAIS yang merupakan sebuah agensi yang secara tidak langsung terletak di bawah pentadbiran negeri, tidak dipertahankan oleh Abdul Khalid. Kakitangan kerajaan negeri secara keseluruhannya pasti kecewa dan jatuh moralnya apabila agensi negeri tidak menjadi keutamaan pentadbiran Abdul Khalid.

Sebaliknya, awal-awal lagi Menteri Besar menelefon pastor di gereja terbabit ketika pada masa sama JAIS diserang bertubi-tubi kerana dikatakan menceroboh sebuah gereja.

Malah, Menteri Besar sengaja tidak mahu mendedahkan status sebenar premis berkenaan dan hanya mahu ia dimasukkan dalam laporan JAIS.

Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu pula 'menikus' apabila wartawan bertanya soal status premis berkenaan. Menteri Besar menyatakan beliau tidak tahu sedangkan di sebelahnya adalah Ronnie yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat tentang status premis yang dikatakan gereja itu.

Selama ini Ronnie gemar menempel dalam sidang akhbar Menteri Besar sering menyampuk kalau ada sesuatu yang perlu diperjelaskan tetapi dalam isu gereja, dia hanya tersengih-sengih.

Sepatutnya Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali lebih layak berada dalam sidang media itu kerana ia membabitkan isu JAIS.

Padahal, sering kali dalam isu membabitkan portfolionya mengenai pihak berkuasa tempatan (PBT), Ronnie adalah juaranya seperti isu arak dan larangan orang Islam bekerja di kelab hiburan.

Apa yang paling mengecewakan ialah Pas yang terus menggunakan kaedah jalan tengah atau manzilah baina manzilatain. Tiada pendirian jitu dibuat kerana lebih mahu mengambil hati orang lain atau lebih tepat kepentingan undi.

Seperti mana dalam isu perkataan Allah, Pas membenarkan penggunaan kalimah jalalah itu asalkan tiada penyalahgunaan. Dalam isu pemeriksaan JAIS pula, keputusan diambil untuk mendapatkan penjelasan JAIS dan gereja.

Pas tidak lagi bercakap tentang kepentingan pengundi deposit tetap mereka - orang Islam tetapi cuba bermain mata dengan pengundi bukan Melayu. Sekali lagi Pas 'ketinggalan bot' berbanding NGO-NGO Islam termasuk yang cenderung kepada parti Islam itu sejak dahulu.

Mereka berjaya membuat pendirian tegas dengan pantas iaitu menyokong JAIS setelah mendapat bukti-bukti asas tentang penyebaran agama lain terhadap orang Islam.

Mereka dengan pantas mencari maklumat awal termasuk rakaman pemeriksaan JAIS pada malam 3 Ogos itu. 12 orang penganut Islam dikesan hadir dalam majlis 'thanksgiving' dan kuiz agama Islam serta menyanyi lagu 'Allahuakbar' dan 'Subhanallah'.

Dalam rakaman itu disaksikan seorang peserta bukan Islam mempertahankan haknya menggunakan kalimah Allahuakbar dan Subhanallah kerana kononnya tiada larangan kerajaan.

Lebih pelik lagi dalam salah satu soalan kuiz itu menyebut tentang berapa kali perkataan Nabi Isa disebut dalam Al-Quran.

Majlis di DUMC itu mungkin hanya ibarat bongkah ais yang timbul di permukaan air. Bongkah yang lebih besar di dasar air tidak kelihatan.

Sekarang mahukah Pas bertanggungjawab apabila kalimah seruan takbir dan tasbih Maha Suci Allah itu pun sudah diceroboh dan disalah guna oleh bukan Islam.

Walaupun Pas kemudiannya membuat beberapa kenyataan penegasan yang dilihat sebagai 'tindakan mengawal kerosakan' tetapi masih tetap mahu menghala peluru kepada lawan politiknya.

Mereka mempersoalkan seolah-olah ada tangan ghaib UMNO dalam pemeriksaan JAIS apabila rakaman pemeriksaan itu mula didedahkan dalam laman-laman blog.

Pas bercakap sedemikian seolah-olah tiada seorang pun ustaz-ustaz dalam JAIS bersikap pro kepada parti itu atau sekurang-kurang yang ada jiwa Islam dan sayangkan perjuangan Islam.

Apa yang mengecewakan ialah apabila persoalan pokok iaitu usaha memurtadkan orang Islam secara halus tidak menjadi perkara utama perbahasan.

Sekurang-kurang reaksi segera pelbagai pihak tidak kira parti politik dan NGO-NGO Islam tidak menunjukkan umat Islam terus dibuai lena. Dalam kekhusyukan beribadah mengejar keberkatan ganjaran Ramadan, jangan lupa ada saudara-saudara kita cuba 'dibawa lari' orang.

Kalau kes di DUMC cuba dinafikan tetapi kita tidak dapat menutup isu memurtadkan Nor Asyiah Bukhori dan Lina Joy yang sudah terbukti memang berlaku penyebaran agama lain ke atas umat Islam. Ibarat di sebalik silau terik matahari di siang hari, meskipun kita tidak dapat melihatnya, kita tahu matahari itu tetap ada.

Sepatutnya dalam isu agama dan mempertahankan hak kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kita semua senada tanpa mengira latar belakang politik atau apa saja kepentingan.

Namun sejauh mana kita serius, boleh dilihat bagaimana sambutan Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini.

Ruang dewan yang luas di masjid negeri itu mampu menampung ribuan umat Islam yang hadir untuk menunjukkan solidariti atas isu penyebaran agama lain. Namun jumlah kehadiran tidak memberangsangkan.

Adakah orang kita hanya hangat-hangat tahi ayam? Cakap berdegar-degar tetapi memandang sepi isu yang begitu penting seperti murtad.

Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik dalam seminar itu bahawa sikap umat Islam yang berpecah dan sering bertelagah pandangan menyebabkan mereka tidak akan mampu menghadapi cabaran besar termasuk Kristianisasi.

Ini kerana proses Kristianisasi (ke atas umat Islam) itu berselindung dalam arus liberalisasi global yang boleh merubah struktur dan rupa bentuk negara selain mengancam keselamatan.

''Kita 14 juta umat Islam tidak mempunyai apa-apa risalah dan apabila berdepan dengan ancaman, kita bertaburan. Bahkan kita bercanggah sesama sendiri dalam memahami isu yang dihadapi sekarang," kata Abdullah.

Beliau bimbang sekiranya keadaan itu berlarutan, umat Islam tidak akan dapat lagi mempertahankan saki baki jaminan Perlembagaan Persekutuan yang ada di dalam perkara memartabatkan agama Islam.

Katanya, penghakisan kuasa politik dan tawar menawar orang Islam dikhuatiri akan mendedahkan kedudukan Islam negara ini terus dicabar.

Abdullah berkata, arus liberalisasi global yang menggerakkan fahaman humanisme semakin laju sehingga sukar ditolak malah kadang kala mengelirukan umat Islam.

Fahaman ini menjadi ancaman kepada kedudukan Islam, dengan berselindung atas pembentukan masyarakat sivil yang membawa kepada kebebasan individu secara mutlak.

Ini membawa maksud bahawa orang Melayu yang dilahirkan sebagai Islam perlu diberikan kebebasan untuk memilih agama.

Anak tidak perlu ditetapkan agamanya sejak dari bayi sebaliknya membiarkan mereka menentukannya sendiri apabila dewasa. Ini adalah antara pandangan beberapa pemimpin muda pembangkang.

Oleh : Helmi Mohd. Foad

No comments:

Post a Comment