Thursday, June 23, 2011

Orang Melayu Jadi Taruhan

PERHIMPUNAN haram yang dirancangkan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih).

Bersih dipengerusikan oleh S.Ambiga, seorang peguam wanita yang pernah mengguris perasaan umat Islam apabila terlibat dalam Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Faith Commission (IFC).

Apa yang pernah dituntut oleh IFC yang disokong Ambiga? Antara tuntutan paling ketara ialah ''Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.'' - Terdapat 13 lagi tuntutan lain yang dilihat menggugat agama Islam.

Tetapi Ambiga kini seolah-olah diangkat sebagai heroin oleh orang Islam yang berada dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Alasan yang diberikan ialah apa yang diperjuangkan oleh Ambiga sekarang ada persamaan dengan perjuangan kedua-dua parti tersebut.

Justeru orang Melayu dalam kedua-dua parti ini sudah menyatakan komitmen mereka untuk menjadi benteng utama perhimpunan haram Bersih.

Masing-masing menyatakan kesediaan untuk menggerakkan ribuan orang Melayu daripada parti masing-masing bagi menyertai perhimpunan haram tersebut.

Menurut maklumat diterima penulis, ketika ini orang Melayu dalam Pas dan PKR sedang menyusun strategi bagaimana hendak berhadapan dengan pihak polis pada hari berkenaan.

Mereka juga dikatakan sudah bersedia untuk 'berkampung' di Dataran Merdeka, Masjid Kampung Baru, Masjid Negara dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Pemimpin-pemimpin utama mereka yang juga terdiri daripada orang Melayu akan turun ke Perak dalam tempoh terdekat bagi melancarkan perhimpunan haram tersebut.

Dari satu pihak lain, dua kelompok orang Melayu iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Pribumi) dan Pergerakan Pemuda UMNO sudah melaungkan amaran bahawa mereka juga akan turun ke jalanan pada 9 Julai ini.

Akhirnya apabila ia menjadi kenyataan, maka orang Melayu akan melihat pertembungan sesama orang Melayu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Ini belum lagi termasuk orang Melayu yang berhimpun di negeri-negeri bagi tujuan sama, manakala yang akan turut mengalami kerugian ialah peniaga-peniaga Melayu yang mencari sesuap nasi di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sudah tentu terpaksa menutup perniagaan mereka pada hari berkenaan.

Sebab itulah Ambiga menolak pelawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berunding dengan beliau. Ambiga tahu beliau tidak akan rugi apa- apa. Bukanlah beliau atau kaum beliau yang akan terjerit-jerit di jalan raya, memegang poster memaki hamun kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pihak polis.

Begitu juga kaum lain, mereka juga sudah menyatakan tidak akan menurunkan penyokong mereka kerana amat memahami apa yang bakal dilakukan oleh pihak berkuasa memandangkan ia perhimpunan haram.

Kesudahannya yang akan bertembung dan kemudiannya bergaduh ialah orang Melayu, kaum lain hanya akan melihat daripada tingkap-tingkap bangunan dan kaca-kaca televisyen bagaimana orang Melayu yang sudah terkongkong dengan pemikiran politik sempit mereka sedang berkejaran sesama sendiri di jalanan.

Apa yang paling malang, sekumpulan anggota keselamatan yang pastinya juga orang Melayu terpaksa berkorban demi menjaga keamanan akan berdepan dengan orang Melayu yang berhimpun secara haram tersebut.

Dalam soal ini, kita tidak boleh menuding jari menyalahkan orang Melayu dalam Perkasa mahupun Pemuda UMNO.

Kedua-dua kelompok ini turun ke jalanan selepas peringatan mereka kepada orang Melayu yang berada dalam Pas dan PKR supaya tidak menjadi kuda tunggangan kepada individu seperti Ambiga, tidak pedulikan.

Malahan orang Melayu dalam kedua- dua parti itu juga turun ke jalanan akibat mata dan hati mereka sudah ditutup dan dikaburi dengan ketaksuban sehingga mereka terlupa bahawa orang yang bertanggungjawab mencetuskan perhimpunan haram berkenaan tiada pun kaitan dengan politik.

Ambiga bukan ahli politik, beliau tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya tetapi kenapa Ambiga sibuk dengan agenda perhimpunan haram berkenaan.

Tidakkah orang Melayu yang turun ke jalanan untuk menyahut seruan Bersih itu faham bahawa mereka hakikatnya sedang diperbodoh dan diperkotak-katikkan melalui mainan yang aturkan oleh pihak lain yang bertujuan menambahkan lagi keparahan perpecahan di kalangan orang Melayu?

'Permainan' ini diaturkan dengan begitu rapi dan terancang supaya orang Melayu yang menjadi 'benteng utama' Bersih menjadi 'pak turut' kepada pihak lain atas alasan menuntut keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya.

Lebih malangnya lagi, gerakan ini disokong oleh pemimpin utama Melayu dalam PKR yang amat gembira dengan apa yang bakal terjadi pada 9 Julai ini.

Ternyata perhimpunan haram Bersih, tidak mendatangkan apa-apa faedah pun kepada orang Melayu. Sebaliknya orang Melayu yang akan mengalami kerugian dari segala segi biarpun sehari sebelumnya mereka juga sama-sama bersolat Jumaat dan sujud kepada Allah yang satu.

Namun semuanya dilupakan kerana api kebencian dan perpecahan yang ditiupkan atas alasan kononnya untuk mewujudkan sebuah pilihan raya bersih dan adil telah melumuri jiwa dan minda orang Melayu ini.

Sememangnya kita tidak pasti sampai bilakah orang Melayu akan terus menjadi alat kepada pihak lain meraih keuntungan.

Mereka juga tidak akan peduli kesannya kepada perpaduan Melayu kerana mereka kini begitu percaya dengan kerjasama erat dengan DAP.

Mungkin orang Melayu yang nekad untuk turun ke jalanan ini sudah tidak boleh dinasihatkan lagi kerana mereka tidak akan mendengar tetapi ingatlah pesanan pantun lama ini:
      Kata tua kata bermanfaat,
      Banyak manfaat dapat dirasa,
      Hina bangsa tiada muafakat,
      Tidak muafakat umat binasa!!!

Oleh itu janganlah sampai, akibat menjadi mainan halus kelompok lain, orang Melayu suatu masa nanti menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Semua itu tidak mustahil akan berlaku jika orang-orang Melayu di dalam PKR dan Pas masih tidak sedar akan agenda tersembunyi pihak yang tidak sekiblat dengan mereka.

Fikirkanlah!

Utusan-Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment