Friday, February 18, 2011

Kuala Lumpur oh Kuala Lumpur, Ibu Negaraku!

Hilang lagi warisan Melayu di Kuala Lumpur?

TAJUK di atas merupakan sepucuk surat yang saya terima baru-baru ini. Penulis membahasakan dirinya Anak Jati Melayu Kuala Lumpur.

Ia menceritakan mengenai kegelisahannya yang melihatkan kubu-kubu kuat atau geopolitik orang Melayu di Kuala Lumpur semakin terhakis dan hilang atau tinggal nama sahaja. Penulis itu menceritakan mengenai nasib Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi. Itu tidak termasuk Kampung Sungai Penchala yang kini tercacak kondo-kondo mewah yang tidak mampu milik oleh orang Melayu. Kampung Datuk Keramat juga sudah disentuh untuk dibina kondo mewah Datum Jelatek.

Sebenarnya, kebimbangan orang Melayu Kuala Lumpur yang terpinggir akibat pembangunan pernah dibahaskan oleh Pemuda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas.

Berikut ialah tulisan Anak Jati Melayu Kuala Lumpur. (Nota: Oleh kerana nadanya sedikit marah, benarkan saya membuat sedikit suntingan.)

Rata-rata sibuk dengan kesedihan kampung Melayu yang hilang di Pulau Pinang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku di tempat yang lebih gah iaitu Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.

Sikap mengambil tahu nasib orang Melayu di tempat lain sibuk diberatkan sedangkan satu lagi kampung Melayu akan lenyap di Kuala Lumpur tidak diendahkan.

Nama Kampung Kerinchi akan hilang satu hari lagi, ke mana perginya orang Melayu dan di mana entiti Melayu di Kuala Lumpur? Entiti bangsa Cina dengan “China Town di Petaling Street” dan baru-baru ini, demi menjaga muhibbah, entiti India mula diperkenalkan iaitu “The Little India” di Brickfields, Kuala Lumpur. Di mana entiti bangsa Melayu? Kampung Baru?

Mari kita ingat kembali, mula-mula Kampung Abdullah Hukum yang hilang dan tempatnya digantikan oleh pembangunan yang gah iaitu Mid Valley Megamall, bukan milik dan untuk orang Melayu.

Ke mana orang Melayu Kampung Abdullah Hukum? Apa terjadi pada penduduk flat Melayu di situ? Adakah mereka terbela atau terbuang dan hilang dari Kuala Lumpur atau masih tinggal di kawasan sekitar dengan gantirugi yang setimpalkah? Masih tiada yang mengambil berat situasi seperti ini.

Kemudian, Kampung Kerinchi pula menjadi idaman pemaju luar yang mengambil kesempatan untuk membangunkan pelbagai pembangunan yang menguntungkan. Kawasan kampung ini telah menjadi “Highest and Best Use”. Orang Melayu terjual lagi. Pembangunan “The Sphere” dan “Bangsar South” antara nama komersil yang digunakan bagi menaikkan lagi taraf kawasan tersebut.

Bagaimana dengan nama Kampung Kerinchi? Busukkah nama itu? Kenapa perlu dibuang dan kenapa kewujudan kampung Melayu perlu diusik?

Selama 30 tahun mereka tinggal di situ. Pelbagai usaha dijalankan termasuklah penyingkiran secara ‘beradab’ tanpa disedari serta dikaburi dengan pelbagai impian ‘virtual life’.

Ramai di antara mereka tidak menyedari bahawa mereka adalah orang Melayu yang dikhianat oleh bangsa sendiri.

Namun, salahkah kita memperjuangkan nasib orang Melayu yang ditindas. Bangsa Melayu tidak bodoh, masih ada dan masih mencari kebenaran serta mempertahankan hak Melayu agar tidak lenyap di Kuala Lumpur. Bangunlah bangsaku dan jagalah jati dirimu agar tidak dipermainkan oleh orang-orang yang suka mengambil kesempatan ke atas kamu. - Anak jati Melayu, Kuala Lumpur.

Cuit-Zaini Hassan

No comments:

Post a Comment