Tuesday, February 15, 2011

Kini, Milik Asing Sepenuhnya

Tiada lagi kepentingan tempatan dalam pengendali pasar raya besar itu.

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Pasar raya besar Carrefour Malaysia mulai hari ini dimiliki sepenuhnya oleh syarikat asing selepas 30 peratus kepentingan yang dipegang oleh syarikat Malaysia, Hartajaya Harmoni Sdn. Bhd. dipindahkan kepada Carrefour Netherlands BV (Carrefour NBV).

Pemindahan itu berikutan satu keputusan kes yang didengar di dalam Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pemindahan ekuiti kepentingan itu berlaku berikutan terdapatnya pemungkiran kasar (blatant breach) dalam terma dan syarat kelulusan lesen pasar raya besar Carrefour Malaysia seperti mana ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kata Carrefour Malaysia dalam kenyataannya di sini.

Hartajaya sebelum ini memegang sebanyak 115.71 juta saham dalam Magnificient Diagraph yang mengurus Carrefour Malaysia atau mewakili 30 peratus kepentingan yang diambil alih daripada Pesaka Antah Sdn. Bhd.

Pemegang saham lain Magnificient Diagraph adalah Mildew BV (34.61 peratus) dan Carrefour Malaysia Sdn. Bhd. sebanyak 9.33 peratus.

‘‘Berikutan perpindahan 30 peratus kepentingan Hartajaya ini, Carrefour NBV kini memiliki 56.06 peratus kepentingan dalam Magnificient Diagraph,’’ katanya.

Carrefour Malaysia berkata, perpindahan itu secara tidak langsung menyaksikan operasinya tidak lagi mempunyai ekuiti bumiputera atau kepentingan rakyat tempatan, berkuat kuasa serta merta tertakluk kepada keputusan rayuan dalam mahkamah pada 7 Februari 2011.

Hartajaya sebelum ini, memohon perintah injunksi ke Mahkamah Persekutuan bagi menghalang kepentingannya dipindahkan dan juga petisyen perintah mahkamah bagi menghalang 30 peratus kepentingannya diambil tindakan.

Bagaimanapun, kata Carrefour Malaysia, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan petisyen Hartajaya dengan RM30,000 kos diberikan kepada Carrefour NBV.

“Melalui pembatalan itu, Carrefour NBV boleh mendapatkan 30 peratus kepentingan Hartajaya tersebut,’’ ujarnya.

Kes pendengaran tertangguh di Mahkamah Tinggi itu merupakan satu kes guaman penindasan (oppression suit) di bawah Seksyen 181 di bawah Akta Syarikat yang membolehkan pemegang saham mendapatkan keadilan apabila tidak diberi layanan yang baik.

Dalam membatalkan permohonan Hartajaya, Mahkamah Persekutuan berkata, injunksi dan menanggalkan injunksi oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2011 tidak memberi kesan kepada guaman penindasan.

Carrefour NBV telah membuat pilihan panggilan (call option) terhadap kepentingan Hartajaya dalam Magnificient Diagraph Sdn. Bhd. (Magnificient Diagraph) yang merupakan pengendali Carrefour Malaysia.

Sehingga kini, Carrefour Malaysia dilaporkan mempunyai 23 cawangan di seluruh negara.

Carrefour NBV telah menjalankan pilihan panggilan terhadap 30 peratus kepentingan Hartajaya pada 4 November 2010, sehari sebelum Kumpulan Carrefour memuktamadkan prosiding proses bidaan untuk sasaran jualan perniagaannya di rantau ini.

Sumber : bisnes@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment